Lebih 300 bakal jemaah terkandas selepas syarikat penyedia perkhidmatan umrah gagal menerbangkan kumpulan ini ke Tanah Suci, semalam.
Seorang warga emas yang juga ibu tunggal antara jemaah yang terkandas mendedahkan selama 15 tahun dia mengikat perut demi mengumpul wang untuk ke Tanah Suci namun impiannya berkecai gara-gara isu ini.
15 tahun makan nasi beserta bawang untuk simpan duit
Menurut Maimun Sarajul, 60, dia telah menyimpan duit bantuan Baitulmal sejak 2009 bagi menunaikan ibadah umrah bersama dua orang anak serta seorang cucu Orang Kelainan Upaya (OKU).
Jelasnya, dia mula menyimpan sejak 15 tahun lalu dan bersemangat untuk membawa cucunya ke sana serta telah membayar harga sewaan untuk kerusi roda bagi digunakan sepanjang tempoh mengerjakan umrah.
“Mak cik ikat perut lebih 15 tahun, hanya makan nasi dengan bawang, kadang-kadang air garam untuk simpan duit bantuan Baitulmal ke Tanah Suci.”
Kata Maimun, dia mengetahui tentang pakej umrah yang ditawarkan syarikat tersebut melalui promosi yang dibuat seorang usahawan kosmetik dari Kelantan menerusi aplikasi Tiktok.
“Sebelum ini, mak cik ada bertanya kepada seorang ustaz tentang pakej umrah, namun harga ditawarkan sedikit mahal.
“Jadi, selepas mak cik melihat Tiktok milik usahawan kosmetik itu, dia mempromosikan pakej berjumlah RM11,000 untuk dua orang dan terus berminat dengan tawaran itu,” jelasnya.
View this post on Instagram
Tambahnya lagi, dia telah membuat bayaran sebanyak RM33,000 untuk enam orang termasuklan cucu yang merupakan OKU.
Selain Maimun, terdapat 314 bakal jemaah termasuk dari Brunei dan Korea Selatan turut terkandas selepas penyedia perkhidmatan umrah gagal menyediakan tiket penerbangan, visa dan hotel di Tanah Suci sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM2.1 juta.
Difahamkan, syarikat terbabit bakal berdepan dengan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari jika gagal membuat pemulangan wang sehingga malam Selasa.
Sumber: Kosmo!