Kebelakangan ini, penjenayah tidak lagi takut untuk melakukan samun atau ragut di kawasan terbuka. Malah, ada yang lebih ‘ekstrem’ sanggup menyamun di tempat-tempat ibadat.
Seperti yang berlaku baru-baru ini di Alor Gajah, Melaka, dua jemaah wanita yang sedang menunaikan solat subuh di Masjid Jawahir, Pengkalan Balak telah disamun seorang lelaki yang tidak dikenali.
Memetik laporan Utusan Melayu, kejadian berlaku kira-kira jam 6.25 pagi sewaktu seorang mangsa yang berumur 55 tahun sedang dalam rukun solat tahiyyat akhir. Lelaki tersebut secara tiba-tiba datang dan melarikan beg tangan yang diletakkan bersebelahan mangsa.
Sempat melarikan beg tangan jemaah lain
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu, jemaah wanita tersebut menjerit meminta tolong, namun suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki Toyota Vios berwarna putih yang dipandu rakan subahatnya.
Suspek juga sempat melarikan beg tangan jemaah wanita lain sebelum meloloskan diri. Dalam beg tangan tersebut mengandungi kad pengenalan, kad bank serta kunci rumah.
Wah kau bang! Sempat lagi tu. Berani betul.
Menurut Arshad lagi, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam masjid tersebut untuk mengenal pasti identiti suspek.
Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Harap-harap pelaku dapat diberkas secepat mungkin lah ye. Masjid pun dah tak selamat sekarang.
Baca: Baru selesai kelas mengaji – Jemaah Wanita Cedera Lepas Disamun Dua Lelaki Guna Cangkul Dalam Masjid