Berita duka menyelubungi cef selebriti terkenal Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai Chef Wan apabila dia mengesahkan bahawa dirinya menghidap kanser limfoma.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi satu posting di Instagram yang menyatakan bahawa pihak hospital telah melakukan ujian electrocardiogram (ECG) sebanyak dua kali dan mendapati dia menghidap kanser tersebut.
“Bagi tahap ini, kebarangkalian untuk sembuh antara 70 ke 80%”
Chef Wan yang reda dengan keputusan itu memaklumkan doktor telah memintanya untuk melalui beberapa langkah demi membendung kanser tersebut.
Antaranya ialah dengan menjalani 13 kitaran rawatan kimoterapi untuk jangka masa selama 13 minggu.
View this post on Instagram
“Saya baru sahaja menjalani ujian ECG saya tadi. Pada jam 3 petang doktor menyampaikan berita tentang keputusan biopsi saya.
“Mereka terpaksa menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan tersebut, saya sememangnya menghidap kanser limfoma.
“Pada peringkat ini, peluang untuk sembuh biasanya 70 hingga 80 peratus. Isnin ini, saya akan memulakan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang kita.
“Saya juga akan menjalani kimoterapi dan memulakan rawatan itu serta-merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu,” katanya.
Anak perempuan dan menantu menangis terima berita
Dalam pada itu, Chef Wan juga sempat berseloroh apabila mendapat tahu dia bakal berhadapan dengan kesan seperti keguguran rambut, muntah-muntah dan cirit-birit akibat kimoterapi itu.
Doktor kata saya akan mula kehilangan rambut. Ya Tuhan saya sudah mula membayangkan diri saya dengan rambut palsu yang hebat seperti Elvis Presley, M. Daud Kilau, Samy Vellu, Liberace dan banyak lagi.
“Saya juga akan alami adegan muntah seperti dilakonkan oleh Linda Blair di filem Exorcist dan juga cirit-birit tak berkesudahan,” katanya.
Chef Wan juga memaklumkan anaknya, Serina dan menantu menangis apabila mendapat tahu berita buruk tersebut.
Anak perempuan dan menantu saya kecewa mendengar berita ini… saya kata jangan menangis, saya okay. Saya belum pergi lagi,” katanya.
Malah dia juga bersyukur dapat mengetahui mengenai penyakit ini di tahap awal daripada ia sudah terlambat.
Terima kasih semua atas doa dan ucapan yang baik. Jangan risau kerana kita akan melalui semua ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan,” katanya lagi.
Apa-apapun marilah kita doakan semoga Chef Wan cepat sembuh daripada penyakitnya dan diberi kekuatan melalui detik sukar dalam hidupnya ini.