Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh dari rumah di tingkat 15 Flat Ladang Gemilang Satu, Kuala Terengganu petang semalam. Menurut Harian Metro, Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, 6, bersendirian di rumahnya ketika kejadian berlaku pada jam 4 petang itu.
Ibu ke kedai berhampiran
Difahamkan, ibu mangsa telah keluar ke kedai berhampiran ketika mangsa sedang tidur. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata mangsa yang berseorangan itu tergelincir ketika berada di tepi tingkap ruang tamu rumah.
Menurut ibu mangsa, ketika kejadian dia memasang cerita kartun namun tidak menyangka apabila terjaga anaknya itu menanggalkan sekeping tingkap cermin nako dan letak di atas sofa.
Saya tidak tahu apa tujuannya tetapi kemungkinan dia mahu menjenguk untuk melihat ke bawah. Saya berasa agak pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian.”
Pagi tadi ketika mengemas rumah, dia bersalam dengan saya dan tidak sangka ia adalah tanda perkara tidak baik berlaku kepadanya.”
– Ibu mangsa, Nurul Emilia Ali, 34.
Kata Emilia, dia tidak menyangka perbuatan anaknya yang dianggap suka-suka itu adalah salaman terakhir. Kebiasaannya dia akan membawa mangsa bersama ke kedai membeli makanan namun ketika kejadian, anaknya itu sedang tidur. Disebabkan itu, dia hanya membawa anak bongsunya bersama sementara dua abang mangsa keluar bermain dan bapanya, Mohd Azizul Mohamad bekerja.
“Jangan kita kecam ibunya…”
Sementara di Facebook, ramai netizen yang mengucapkan takziah dan mendoakan agar kedua ibu bapa mangsa kuat untuk hadapi berita kehilangan anak mereka itu.
Mereka juga meminta agar orang ramai berhenti mengecam dan mencemuh ibunya kerana meninggalkan anak berseorangan di rumah. Rata-ratanya berpendapat lebih elok jika kita mendoakan pasangan itu diberi kekuatan pada waktu sebegini.