Baru-baru ini, tular sebuah isu di mana seorang wanita yang dihalang untuk membuat laporan polis hanya kerana dia memakai seluar pendek paras lutut.
Wanita berkenaan turut diminta oleh pihak Balai Polis Kajang untuk menukar pakaiannya itu jika ingin meneruskan laporan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berpendirian adalah isu tersebut amat tidak munasabah.
Beliau berkata wanita tersebut pasti mempunyai tujuan dan terikat dengan situasi tertentu yang menyebabkan dia terus ke balai polis untuk membuat laporan.
“Secara umumnya kita tidak harus mendiskriminasi sesiapa, mesti ada sebab orang itu ke situ, tidak kira macam mana pakaiannya.
Contoh kalau ada kemalangan orang awam perlu buat laporan dalam tempoh 24 jam kan.
Jadi pihak bertanggungjawab itu tidak boleh tolak (halang) wanita itu kalau tidak ada alasan lain. Dia memerlukan bantuan kepada pihak berkuasa. Tidak munasabah dia dilarang masuk kerana pakaiannya,” katanya.
Menurut laporan Malay Mail, menteri berkenaan mengulas isu tersebut dalam sidang media selepas merasmikan Program Matahari (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan Iris (Literasi Perundangan dan Hak Wanita).
Baca: Wanita Dakwa Tak Dibenarkan Masuk Balai Polis Kerana Pakai Seluar Pendek?