Semalam, media digemparkan dengan berita rumah pelakon Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta diserbu pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas gagal membayar hutang pinjaman berjumlah hampir RM1 juta daripada agensi tersebut.
Susulan isu itu, Che Ta tampil memberi respon namun lebih memilih untuk tidak memberi komen lanjut mengenai dakwaan tersebut.
Pelakon Kiah Pekasam itu bagaimanapun menasihatkan agar sebarang cerita palsu tidak digembar-gemburkan secara membuta tuli.
Artikel berkaitan: “Usah merayu, bukan hak saya untuk melupuskan hutang” – Pengerusi MARA ‘Bersuara’ Pasal Isu Hutang
Artikel berkaitan: Hanya Dapat Sita Barangan Tak Sampai RM100,000, Che Ta Dikatakan Pindah Keluar Barang Semalam
Che Ta atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar berkata, dia tidak kisah dengan segala laporan media selagi tidak jatuh hukum fitnah.
“Tak kisah apapun cerita (laporan) ingin dipamerkan tapi jangan cerita benda palsu.
“Tulislah apa kalian nak (tulis) untuk aibkan orang tapi jangan cerita tak betul. Itu sahaja saya minta,” katanya.
Pengurus Che Ta minta beri masa
Sementara itu, pengurus Che Ta memohon supaya pihaknya diberi ruang dan akan tampil memberikan penjelasan berkaitan isu berkenaan dalam waktu terdekat.
“Tolong beri sedikit masa untuk bertenang.
“Saya akan kembali dengan kenyataan rasmi kelak. Terima kasih,” kata Afeeq Abd. Wahab.
Hasil serbuan di rumah pelakon itu yang terletak di Kota Damansara, pihak MARA dapat menyita pelbagai barangan yang cuma bernilai hampir RM100,000.
Sumber: Kosmo!