in

“Jangan buat buat tak tahu” – Ini 4 Sebab Kenapa Pelaburan Forex Haram Dalam Islam

collage 21

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Forex Trading atau perdagangan pertukaran matawang asing merupakan proses pembelian dan penjualan matawang dari negara-negara yang berbeza dan matlamat yang ingin dicapai adalah mendapatkan keuntungan dengan mengambil kesempatan terhadap perubahan nilai matawang.

Contohnya bila korang nak bercuti ke Indonesia dan korang tukarkan duit Malaysia Ringgit kepada Rupiah pada kadar harga pertukaran tertentu. Tapi bila korang balik semula ke Malaysia, duit baki Rupiah yang masih ada korang nak tukarkan balik kepada Ringgit.


Bila kadar pertukaran tinggi, korang akan dapat lebih banyak wang dari apa yang korang ada dan perbezaan yang korang dapat ni adalah keuntungan untuk korang.

Dalam Forex Trading, orang buat pertukaran ni tanpa perlu pergi bercuti kemana-mana. Malah, dorang gunakan platform dalam talian untuk tukar matawang. Mereka mungkin akan beli matawang macam USD dan mengharapkan agar kadar tersebut naik dan jual balik pada kadar yang tinggi dan mendapatkan untung.

Sama macam korang beli barang murah lepastu korang jual balik dengan harga yang lebih tinggi tapi instead of guna barang, forex guna matawang dari negara-negara berbeza.

Jual beli dalam Islam

transaksi jual beli 169

Sebelum kita sentuh tentang hukum Forex Trading dalam Islam, kita faham dulu dengan kaedah jual beli dalam Islam. Apa-apa perdagangan atau jual beli adalah diharuskan dalam Islam asalkan ia tidak mempunyai unsur riba.

Riba bagi kata kerja bermaksud lebihan, pertambahan dan perkembangan manakala dari sudut syarak, ia bermaksud kontrak yang dimeterai sebagai pertukaran barangan tertentu tanpa mengetahui kesamarataannya menurut ukuran syarak ketika akad atau penyerahan salah satu barangan tersebut atau kedua-duanya dilewatkan.

Riba ni ada beberapa jenis, antaranya:

  • Riba al-Fadhl: Iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli barangan yang sama, dan terdapat pertambahan pada salah satu barang tersebut. Seperti jual beli emas dengan emas, atau perak dengan perak.
  • Riba al-Nasi’ah: Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan barang ataupun duit pembayaran secara sengaja, kemudian dikenakan caj tambahan.
  • Riba al-Yadd: Iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.

Sebab Forex Trading diharamkan

AdobeStock 77845681

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut, hukum Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang.

Turut difatwakan dalam al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami bahawa hukum Forex Trading adalah haram dan antara sebab utama pengharamannya adalah:

Pertama: Terdapat padanya unsur riba yang jelas, kerana tiadanya kesamarataan.

Kedua: Adanya pihak ketiga (platform Forex) yang bertindak memberi pinjaman kepada trader (peminjam) terlebih dahulu, kemudian mengambil komisen daripada peminjam tersebut. Ini disebutkan sebagai jual beli berserta pinjaman yang mempunyai larangan secara jelas.

Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ

Maksudnya: “Tidak halal pinjaman disertakan dengan (syarat) jual beli.”

Riwayat Abu Dawud (3504), al-Tirmizi (1234), Ahmad (6671), al-Nasa’ie (4611), dan Ibn Majah (2188)

Al-Qarafi menyebutkan persepakatan ummat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan haram kedua-duanya jika disekalikan, kerana ia adalah laluan riba.

Ketiga: Terdapat unsur gharar (ketidakpastian) pada jual beli tersebut. Nabi SAW telah melarang jual beli yang mempunyai unsur ini seperti di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Keempat: Trader menjual matawang yang masih belum menjadi miliknya. Forex Trading berlaku dengan dua perkara utama yang dikenali sebagai Open Position (contoh: trader membeli matawang EUR dan menjual USD) dan Close Posititon (contoh: trader menjual EUR dan membeli USD).

Ketika Open Position, trader menjual matawang USD yang dimilikinya dan membeli EUR, akan tetapi tidak berlaku serah terima selagi mana dia tidak berpindah kepada Close Position. Apabila berpindah kepada Close Position pula, trader tersebut menjual semula EUR yang dibeli, meskipun belum berlaku serah terima, dan membeli semula USD.

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ ‏

Maksudnya: “Janganlah kamu jual apa yang bukan milik kamu.”

Riwayat al-Nasa’ie (4613), al-Tirmizi (1232), dan Abu Dawud (3503)

Di dalam Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang diwartakan untuk mengendalikan Forex Trading, hanya Bank Negara Malaysia yang diberikan kuasa penuh untuk mentadbir akta tersebut. Seksyen 4 (1) menyebutkan bahawa trader yang melakukan urusniaga Forex dengan selain daripada Authorised Dealer akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sumber: Buku Dr Zulkifli

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.