Jalan Kek Chuan yang terletak di Pulau Pinang telah disenaraikan antara jalan tercantik di dunia dalam senarai ’40 Jalan Paling Cantik Di Dunia Yang Akan Membuatkan Perjalanan Anda Terhenti’ oleh sebuah portal Amerika Syarikat, House Beautiful.
Lebih ‘manis’, hanya dua negara dari Asia Tenggara yang tersenarai iaitu Malaysia dan Thailand.
Jalan Kek Chuan disenaraikan di tempat ke 17 dalam artikel yang diterbitkan pada 3 Jun berkenaan yang menyenaraikan jalan tercantik di dunia untuk dijadikan destinasi persinggahan untuk mereka yang ingin mengembara.
Menerusi senarai berkenaan, ia menyatakan dengan spesifik setiap jalan yang dipilih seperti paling banyak dikongsikan di Instagram iaitu di Boston selain ada juga yang menyatakan tarikan menarik di setiap kota yang pastinya akan menjanjikan sebuah pengembaraan yang tidak dapat dilupakan.
Artikel berkenaan juga menyatakan George Town, ibu negeri Pulau Pinang berkenaan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan pelbagai hasil seni jalanan yang menarik serta makanan-makanan yang menakjubkan.
“Sekiranya anda mencari sesuatu yang indah di mata, Jalan Kek Chuan menjanjikan pelbagai deretan kedai yang mempunyai gabungan rekaan timur dan juga barat”
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin percaya pengiktirafan ini akan memberikan kesan mendalam kepada ekonomi tempatan Pulau Pinang dan industri pelancongan secara keseluruhannya.
Tambahnya lagi, di tengah-tengah destinasi yang tidak terkira banyaknya di seluruh dunia, jalan sederhana negeri tersebut telah muncul sebagai permata yang bersinar yang secara tidak langsung akan memikat hati pengunjung dari segenap pelusuk dunia.
Tidak mustahil, pengiktirafan ini bakal membuatkan Pulau Pinang dibanjiri pelancong luar negara yang ingin menyaksikan keindahan jalan berkenaan secara dekat.
Baca : Sanusi Dakwa Pulau Pinang Milik Kedah? Ini Sejarah Pulau Pinang Yang Korang Perlu Tahu!