Isteri kepada mangsa insiden bot terbalik di Pulau Perhentian yang mengorbankan 3 nyawa itu mengeluarkan kenyataan di mana dia sudah berkali-kali meminta jaket keselamatan.
Suaminya, S Arumugam terkorban dalam insiden itu bersama anak perempuan bongsu mereka A Sarrvihka dalam insiden di perairan Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, kelmarin.
“Kami berkali-kali minta life jacket (jaket keselamatan) daripada pemandu bot kerana waktu itu nampak macam nak hujan dan banyak budak kecil tetapi dia beritahu basah, tidak mengapa sebab jarak perjalanan ke resort kami dekat sahaja”, kata A Sanggetha.
Sanggetha berkongsi detik cemas itu berlaku ketika dia, keluarganya serta empat keluarga lain pergi makan di Pulau Perhentian Kecil.
Artikel berkaitan: Insiden Bot Terbalik Di Pulau Perhentian, Pemandu Positif Dadah Direman 3 Hari
Artikel berkaitan: “Dipercayai berlaku ketika kejadian ribut”- Bot Terbalik Di Pulau Perhentian, 3 Mangsa Maut
“Selesai makan, kami lihat keadaan cuaca macam nak hujan jadi kami buat keputusan untuk pulang ke resort kami di Pulau Perhentian Besar kira-kira jam 9 malam dan menaiki bot yang sama ketika kami datang.
Di atas bot, suami serta rakan-rakannya minta jaket keselamatan dekat pemandu bot tetapi dia kata basah, selain jarak ke resort hanya ambil masa 10 ke 15 minit,namun ketika dalam perjalanan pulang hujan turun dengan lebatnya ditambah dengan keadaan sangat gelap dan bot yang dinaiki mulai terumbang ambing.
Saya kemudian pegang kuat anak sulung kami manakala suami pegang anak bongsu sebelum datang satu ombak yang amat besar menyebabkan bot terbalik,” katanya.
Katanya, dia berusaha keluar dari bot terbalik berkenaan dengan menarik tangan anak sulungnya berusia sembilan tahun, sebelum mereka berdua diselamatkan seorang lelaki yang melihat insiden berkenaan berhampiran kawasan terbabit.
“Saya juga sudah terpisah dengan suami, anak bongsu dan rakan-rakan suami yang masa itu ada anak sulung sahaja bersama saya yang kami berdua kemudian diselamatkan seorang lelaki,” katanya.
Menerusi laporan Harian Metro, Sanggheta berkata dia dan anak sulungnya kemudian dibawa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum mencari telefon untuk menghubungi rakan suaminya.
“Rakan kemudian maklumkan yang suami dan anak bongsu saya sudah meninggal dunia termasuk seorang lagi anak kepada rakan suami.
Ketika ini saya tidak dapat berfikir apa-apa kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata, namun berharap tragedi seumpama ini tidak berlaku kepada orang lain.
Apa yang perlu saya buat sekarang adalah menerima kenyataan kematian ini dan saya akan terus kuat demi satu-satunya anak sulung saya yang tinggal,” katanya lagi.
Lebih menyedihkan, ini adalah kali pertama mereka sekeluarga bercuti ke Pulau Perhentian bersama rakan-rakan suaminya bagi meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke-40.
Insiden itu menyebabkan tiga mangsa maut manakala seorang dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Sumber: Harian Metro