Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai isu sandwich ‘ham & cheese’ yang dikatakan menggunakan logo halal secara tidak sah. Ramai yang panik dan tertanya-tanya, betul ke makanan ni ada unsur tidak halal?
Susulan kontroversi ini, pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghantar sampel sandwich tersebut ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Keputusan akhirnya keluar dan didapati tiada DNA babi ditemui dalam mana-mana sampel.
Kisahnya bermula pada 10 Januari apabila satu jenama sandwich tular kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan. Netizen mula mempertikaikan status halal produk tersebut, terutamanya kerana penggunaan perkataan “ham” dalam nama produk.
Oleh itu, pegawai penguat kuasa telah mengambil sampel dari premis yang menjual sandwich tersebut.
Dalam masa kurang dari dua minggu, hasil analisis dari Jabatan Kimia mengesahkan bahawa sandwich tersebut bebas daripada sebarang unsur DNA babi.
Artikel berkaitan: JAKIM Tepis Dakwaan Syarikat Pengeluar Kata Bahan Mentah Sandwic ‘Ham & Cheese’ Ada Sijil Halal
Artikel berkaitan: Universiti Malaya Tutup Serta Merta 2 Premis Jualan Runcit Dalam Universiti Lepas Kecoh Dakwaan Sandwich Diragui Status Halal

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, tampil menjelaskan bahawa laporan rasmi telah mengesahkan tiada bahan terlarang dalam produk tersebut.
Bagaimanapun, syarikat pengeluar tetap dikenakan tindakan kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan yang sah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau juga menegaskan bahawa isu ini bukan perkara remeh dan pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melanggar peraturan berkaitan logo halal.
Kes ini memberi peringatan kepada pengguna dan peniaga tentang kepentingan mematuhi peraturan halal di Malaysia. Pengguna pula dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan menyemak status halal sesuatu produk sebelum membuat pembelian.
Sumber: Sinar Harian