Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan perbuatan sekumpulan individu berzikir di sebuah Tanah Perkuburan dekat Setapak, Kuala Lumpur.
Menerusi video itu, mereka dilihat berzikir dengan suara yang kuat serta pergerakan badan begitu ketara sehingga menimbulkan rasa pelik orang ramai.
Rupanya kubur seorang guru tarekat
Memetik laporan Harian Metro, penduduk yang tinggal berdekatan kawasan perkuburan terbabit mendedahkan sekumpulan individu itu merupakan anak murid seorang guru tarekat yang meninggal dunia.
Artikel berkaitan: “Kes dirujuk ke JAWI”- Tular Sekumpulan Individu Berzikir Di Kawasan Perkuburan, Polis Sahkan Terima Laporan
Seorang penduduk Taman Danau Kota berkata, dia mengetahui hal itu ketika menziarahi kubur arwah isterinya setiap hari, selain pernah bertanya kepada salah seorang anak murid guru tarekat itu sewaktu mereka mengunjungi pusara.
@bernamatvofficial TULAR ZIARAH KUBUR TAMAN IBU KOTA Tular sebuah video dikongsi warga maya menunjukkan amalan ziarah kubur yang didakwa warga maya agak berlainan oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur. Untuk perincian lebih jelas, nantikan perkembangan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Kredit Video : Rizuwan Rosly #digitalbernamatv #tular #ziarahkubur #raudhatulsakinah #tamanibukota #jawi
Katanya, kebiasaanya mereka tidak kira lelaki atau perempuan akan datang pada jam 7.30 pagi dan berzikir di situ.
“Saya pernah bertanya, sebab saya tengok zikir mereka kuat. Saya bertanya siapa yang istimewa ini? Pelajar dia kata, ‘ini guru kami, guru tarekat’. Mereka daripada dulu sudah buat perkara ini, zikir di sini.
“Bagi saya tak mengapalah. Bila tak ramai setakat seorang dua, nampak normal.
“Bila datang ramai (berzikir) itu mungkin agak meriah sedikit, bagi orang yang datang sekali sekala (ke kubur) itu macam peliklah,” katanya.
Tambahnya lagi, jika perbuatan itu salah, sejak dulu lagi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah bertindak.
“Kalau salah mungkin daripada dulu jabatan agama Islam sudah bertindak. Mungkin dulu pihak pengurusan (kubur) sudah buat laporan. Pihak pengurusan pun relaks dan mereka lebih tahu,” katanya.
Dakwa seorang lagi penduduk, kumpulan individu itu hanya berzikir selain membaca Yasin dan membuat tahlil.
Pun begitu, ada juga yang berpandangan sebaliknya dengan meminta perkara seperti itu diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, JAWI diarahkan menjalankan siasatan terperinci mengenai kegiatan sekumpulan individu terbabit.
Sumber: Harian Metro