in

“Itu anak saya!” – Ibu Dakwa Anak Diawet & Dipamerkan Di Muzium Tanpa Pengetahuannya

Featured LM 10

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Cuba korang bayangkan hilang orang tersayang dan beberapa tahun kemudian, korang bertemu semula dengan dia tapi bukan di tempat yang sepatutnya?

Disebalik pameran yang dilihat penuh ilmiah dan berpendidikan, alangkah terkejutnya seorang ibu bila terjumpa mayat anaknya yang telah diawet dan dipamerkan di muzium untuk tontonan awam tanpa pengetahuannya.


Bayangkan betapa luluhnya hati seorang ibu bila sudah bertahun lama tidak dapat berjumpa anaknya dan kebenaran yang menantinya jauh lebih mengerikan daripada perasaan kehilangan itu sendiri.

Inilah kisah yang berlaku pada ibu Christopher Todd Erick yang mendakwa bahawa mayat anaknya kini telah ‘dipergunakan’ oleh pihak muzium tanpa kebenarannya. Kisah ini sebenarnya sudah lama berlalu, namun kembali tular apabila ibu Christopher yang lebih dikenali sebagai Kim mendakwa yang tubuh milik anaknya itu kini ‘lenyap’ dari pameran tersebut, seolah-olah sengaja dihilangkan selepas dia mendedahkan isu ini kepada umum.

Berikut adalah bagaimana ini semua boleh berlaku.

Artikel Berkaitan: Kisah Gelap Pemb*nuh Bersiri Edmund Kemper, Benci & B*nuh Wanita Sebab Trauma Dengan Ibu Sendiri – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Tular Video Kes Temb*kan Didakwa Di Klang, Kali Ini Pada Waktu Siang – Lobak Merah

Siapa Christopher Todd Erick? 

christopher todd erick

Christopher Todd Erick yang dilahirkan pada 27 September 1989 ini berasal daripada Mesquite, Texas. Christopher ini dikatakan mempunyai kehidupan yang normal seperti orang lain iaitu dia sangat aktif dalam bersukan dan taat kepada kepercayaan dengan rajin ke gereja selalu.

Pada masa yang sama, dia rapat dengan keluarga dan kawan-kawannya serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain, menjadikan tiada siapa akan menyangka yang sesuatu tragis akan berlaku pada diri dia.

Namun, kedua-dua ibu bapanya sebenarnya sudah bercerai menyebabkan dia perlu tinggal bersama bapanya iaitu Steven di Houston. Kim dan Steven ini dikatakan sering bercanggah pendapat tentang cara nak membesarkan dan menjaga anak lelaki mereka ini. Walaupun begitu, Christopher dan ibunya, Kim sangat rapat walaupun tidak lagi tinggal bersama.

Pada tahun 2012, Steven tiba-tiba membuat keputusan untuk menghantar Christopher ke sekolah lelaki berasrama penuh di Houston. Kim sesungguhnya tidak setuju dengan keputusan tersebut ekoran rekod lampau sekolah itu penuh dengan kes penderaan dan kes kematian pelajar yang tidak dapat dijelaskan.

Disebabkan itu juga, Kim dengan serta-merta tidak lagi dapat menghubungi Christopher seperti biasa. Christopher juga tidak dibenarkan untuk berjumpa dan membuat sebarang panggilan dengan sesiapa pun.

Kim juga mendakwa yang anak lelakinya itu menerima kandungan testosteron yang tinggi oleh sekolah asramanya tanpa alasan perubatan yang kukuh

Kematian Christopher

chris died

Pada 8 November 2012, Christopher yang berumur 23 tahun waktu itu dijumpai mati dalam rumah neneknya di Houston. Pada awalnya, kematian Christopher dicatatkan sebagai serangan jantung namun selepas sijil kematiannya disemak semula, Christopher dikatakan mati disebabkan cyanide poisoning, iaitu bahan yang boleh membawa maut.

Pada waktu itu, pihak berkuasa cuma menyatakan bahawa kematian Christopher berkemungkinan disebabkan tindakan Christopher sendiri atau sebab semula jadi. Meskipun tiada jawapan yang memberi kata putus tentang kematian Christopher serta dari mana dia mendapat bahan tersebut, tapi bahan cyanide itu dikatakan memang sah dijumpai dalam sistem tubuhnya.

Pakar patologi pula telah mengesan dua penyakit yang dialami olehnya iaitu dia mempunyai struktur coronary artery yang tidak normal dengan tiga saluran kecil berbanding satu saluran besar seperti biasa. Bila ada masalah struktur coronary artery yang tidak normal, ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung.

Selain itu, pakar patologi juga mengesan terdapat infeksi pada otot jantungnya disebabkan kekurangan oksigen. Bila aliran darah terganggu disebabkan struktur coronary artery yang tidak normal, maka jantung akan kurang mendapat oksigen.

Jadi pakar patologi berpendapat bahawa kedua-dua penyakit yang dialaminya mungkin menyumbang kepada kematian Christopher. Namun, kehadiran bahan cyanide dalam tubuhnya juga menjadi faktor utama yang menyebabkan kematian memandangkan bahan tersebut sangatlah bahaya dan boleh membawa maut.

Disebabkan kes ini juga tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengesan siapa pelaku di sebalik kes ini atau bagaimana dia memperolehi bahan bahaya tersebut, pihak berkuasa juga tidak menyabit mana-mana individu menjadikan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian yang tidak pasti.

Namun, seorang ibu yang sudah lama tak dapat berjumpa anaknya sudah tentu susah untuk menerima takdir kehilangan anaknya. Kim mengatakan yang anaknya tidak ada sebab untuk membunuh diri sebab dia kelihatan normal dan bahagia, seolah-olah dia tidak mempunyai masalah dalam hidup.

557209264 10238433835446173 8807552843314432789 n

Disebabkan Kim memang tak boleh terima keputusan rasmi kematian anaknya, dia dari awal lagi merasakan yang anak lelakinya itu dibunuh dan bukan mati tanpa sebab.

Steven juga rupanya tidak memaklumkan Kim tentang kematian anak lelaki mereka ini terlebih dahulu dengan alasan bahawa dia telah mengkremasi mayat anaknya. Ini menyebabkan Kim tidak berpeluang untuk melihat anaknya buat kali terakhir.

Malah, Kim juga mendakwa yang abu mayat anaknya pun tidak diserahkan oleh Steven sebagai bukti mayat anaknya sudah dikremasi, menjadikan Kim sangat marah pada Steven sebab seolah-olah ayahnya tidak cakna dengan anak lelaki mereka ini.

Pameran ‘Real Bodies’

real bodies vegas

Apa yang mengejutkan adalah setelah beberapa tahun kematian Christopher, Kim pernah pergi ke sebuah pameran sains Real Bodies, iaitu sebuah pameran di Las Vegas yang mempamerkan tubuh manusia yang diawet dan dijadikan model kekal untuk tujuan pendidikan.

Pameran ‘Real Bodies’ ni bukanlah pameran yang biasa, mereka menggunakan spesimen manusia yang sebenar dan kemudian diawetkan atas tujuan untuk pengunjung boleh tengok cara tubuh manusia berfungsi. Pameran ini boleh memberikan pandangan yang unik tentang apa yang berlaku dalam setiap tubuh badan kita.

Waktu Kim berjalan menikmati pameran tersebut, dia perasan salah satu figura yang dijadikan model pameran tu seakan dengan rupa anaknya yang sudah meninggal. Meskipun rupanya dalam keadaan yang agak menggerunkan, tapi naluri ibunya sangat kuat mempercayai bahawa itulah mayat anaknya yang dia tidak sempat lihat.

Kenapa dia yakin itu anaknya?

chris comparison
kiri adalah anaknya waktu hidup dan kanan adalah ‘figura’ itu

Menurut hantarannya di Facebook, dia banyak mendedahkan gambar-gambar lama anaknya untuk dibandingkan dengan ‘figura’ yang dipamerkan di pameran tersebut.

Kim sangat percaya yang figura tersebut adalah anaknya sebab luka di bahagian kepala dan tanda-tanda tertentu pada tubuh figura yang dipamerkan itu sama seperti dengan tanda yang dimiliki oleh anaknya ketika masih hidup.

Kedua, Kim mendakwa yang ciri fizikal anaknya ketika masih hidup dan figura tersebut adalah sepadan. Seterusnya, tattoo asal yang ada di dada dikatakan dipotong semasa proses pengawetan, namun Kim mendakwa yang kedudukan tubuh badan itu masih mudah dikenali. Jadi, dia sangat yakin yang tanda-tanda ini semua menunjukkan figura tersebut adalah anaknya.

Kim sebenarnya pernah bertanya pada pihak yang menguruskan pameran tersebut tentang siapakah jasad disebalik figura yang dijadikan pameran tersebut. Namun menurut salah seorang pekerja di pameran tersebut, dia mengatakan yang demi menghormati kepada yang telah meninggal serta atas dasar menghormati privasinya, maklumat peribadi jasad itu tidak boleh diberikan kepada sesiapa pun.

Kim merasakan perkara itu sangat pelik sebab andai kata kalau jasad itu ‘disedekahkan’ atas tujuan dijadikan pameran untuk tujuan pembelajaran, tidakkah boleh perjelaskan siapa yang berikan keizinan untuk dijadikan pameran atau dari mana datangnya jasad ini?

Kim cuba dapatkan ujian DNA 

chris real bodies

Kim juga dikatakan pernah meminta untuk mendapatkan ujian DNA terhadap figura yang dipamerkan itu, namun pihak pameran pula tidak mengizinkan untuk berbuat demikian atas alasan sukar untuk melaksanakan.

Hal ini kerana, semasa proses plastinasi atau proses pengawetan tubuh badan, tisu organik telah digantikan dengan polimer iaitu bahan pengawat khas. Jadi secara tidak langsung, keadaan ini menjadikan ujian DNA mustahil untuk dilakukan sama sekali.

Perkara ini membuatkan Kim menjadi buntu sebab dia berpendapat bahawa pihak pameran sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan, mereka sepatutnya boleh mengeluarkan kenyataan rasmi atau sekurang-kurangnya bekerjasama dengannya agar isu ini tidak dipanjangkan lagi.

Disebabkan buntu ketiadaan jawapan, Kim mula menyalahkan Steven dengan mendakwa bahawa dia mungkin telah menjual jasad Christopher kepada pihak pameran. Tambahan pula, Steven juga tidak pernah cuba untuk menjelaskan kepadanya kemana jasad anaknya pergi di samping Kim tidak pernah berpeluang melihat mayat anaknya sendiri.

Namun, hingga ke hari ini, Kim masih belum berputus asa. Dia terus menjalankan pelbagai petition untuk menuntut keadilan bagi anaknya serta mendapat sokongan ramai orang melalui laman Facebooknya. Terbaru ini, Kim mendakwa bahawa setelah isu anaknya tular, figura itu kini didapati telah ‘hilang’ dan tidak dipamerkan lagi, seolah-olah ada pihak yang ingin menyorokkan jasad atau figura tersebut.

Apabila dituntut jawapan, seperti biasa, pihak pameran berterusan mengelak dan Kim kekal tertanya-tanya mencari jawapan mengenai kematian anaknya.

Sumber: Unheard of True Crime

Sumber: Find A Grave

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.