Satu tragedi yang meragut nyawa dan masa depan dua remaja baru-baru ini telah menghantui negara, memaksa kita semua untuk menghentikan seketika rutin harian dan melihat kembali keretakan dalam benteng sosial kita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Nancy Shukri, menegaskan bahawa insiden ini bukan sekadar ‘kes terpencil’. Ia adalah cerminan yang menyakitkan terhadap cabaran nilai dan tekanan sosial yang dihadapi oleh anak-anak kita di setiap sudut kehidupan: di rumah, di sekolah, malah di dunia digital yang tanpa sempadan.
Dalam Kenyataan Media KPWKM baru-baru ini , YB Nancy Shukri menyuarakan persetujuan dengan penekanan YAB Perdana Menteri mengenai peranan media sosial dan keperluan tindakan tegas kerajaan.
Namun, beliau menyeru agar pendekatan ini diimbangi dengan empati. Punca masalah ini, katanya, tidak boleh diletakkan semata-mata di bahu disiplin atau teknologi, tetapi berakar umbi dalam ketiadaan bimbingan, komunikasi, dan kasih sayang yang kukuh dalam unit keluarga dan komuniti sekolah.
KPWKM juga berpegang teguh pada prinsip bahawa keluarga dan sekolah perlu bergerak seiring. Kedua-dua institusi ini adalah tunggak utama yang harus berfungsi sebagai benteng kasih sayang dan panduan nilai kepada generasi muda.
Mengakui cabaran baharu yang dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak, KPWKM berikrar untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan mereka.
Artikel berkaitan : T*kam Pelajar: Nota Tulisan Tangan ‘I have won’, ‘This world is fake’ Ditemui Pada Suspek
Artikel berkaitan : “Kita anggap lawak tapi…” – KPM Terima Aduan Murid Cederakan Diri Sebab Ejekan ‘Mak Kau Hijau’
Menurut beliau lagi, menangani isu sosial remaja adalah tanggungjawab kolektif. Ia memerlukan semua pihak, bukan hanya memperkukuh dasar dan program, tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik.
“Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah”
Nancy juga menyeru semua pihak, ibu bapa, guru, masyarakat, dan kerajaan untuk melihat tragedi ini sebagai panggilan kemanusiaan untuk bertindak bersama.
Apa yang diperlukan sekarang ialah fokus yang tidak berbelah bahagi kepada kasih sayang, keprihatinan, dan tindakan bersama. Hanya melalui usaha kolektif ini, kita dapat menjamin perlindungan dan bimbingan yang tuntas demi masa depan generasi muda Malaysia.
Sumber : KPWKM