Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila sekumpulan jemaah umrah terkandas di Jeddah, Aran Saudi.
Susulan itu, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, atau lebih dikenali sebagai PU Abu mengumumkan dirinya akan letak jawatan sebagai dari syarikat tersebut.
Menurutnya, keputusan itu dibuatnya selepas berdepan pelbagai cabaran ketika menguruskan kumpulan jemaah yang gagal dibawa pulang ke tanah air mengikut jadual asal.
Artikel berkaitan: “Tengah beratur nak check in dapat surat”- Puluhan Jemaah Umrah Terkandas Susulan Negara Arab Tutup Ruang Udara
Artikel berkaitan: “Dipromosikan oleh selebriti terkenal” – Mangsa Penipuan Pakej Umrah Kecewa, Gagal Hubungi Syarikat Pelancongan Lepas Ditipu
Katanya, pihak pengurusan tidak memberikan sebarang penjelasan kukuh berkaitan dana penginapan dan penerbangan pulang walaupun sudah cuba berunding sejak awal insiden berlaku
“Saya sudah memberi tempoh sehingga 6.30 petang waktu tempatan kepada syarikat untuk memberikan maklum balas pada 26 Julai lalu.
Namun, apabila tiada sebarang tindakan atau respon diambil, saya memilih untuk mendedahkan perkara itu ke media sosial,” katanya.
PU Abu berkata langkah itu diambil sebagai jalan terakhir untuk menarik perhatian pihak berkaitan termasuk agensi kerajaan dan rakyat Malaysia agar membantu menyelesaikan kemelut jemaah yang terkandas.
“Saya tidak menyangka isu itu mendapat perhatian luas termasuk liputan stesen televisyen dan media tempatan sekali gus membantu memberi tekanan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, PU Abu memberitahu dia menyertai syarikat pengendali terbabit sebagai mutawif sejak 2023 dan hanya mempunyai hubungan sebagai pekerja dengan pihak pengurusan, bukan rakan kongsi mahupun pemilik syarikat.
“Saya akan serahkan surat peletakan jawatan. Selain itu, beberapa pihak sudah hubungi saya untuk buka agensi sendiri.
Buat masa ini, saya perlukan ruang bertenang dan akan berbincang dengan jemaah serta pihak berkaitan untuk menuntut keadilan,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan seramai 43 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas sebuah syarikat pengendali umrah gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada semua jemaah terbabit.
Jemaah berusia antara 20 hingga 60 tahun itu terpaksa bermalam di sebuah apartmen berhampiran selepas tidak dapat menaiki penerbangan seperti dijadualkan.
Sumber: Harian Metro