Semalam, berlangsungnya prosiding kes pengabaian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan yang melibatkan ibu bapanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Menurut Harian Metro, saksi pendakwaan ke-16 memberitahu mahkamah bahawa dia terserempak sebanyak dua kali dengan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin dalam pakaian berbeza pada hari kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.
Saksi yang merupakan suri rumah, Rashidah Rajali, 37, tinggal di aras yang sama dengan ibu bapa arwah di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai berkata, kali pertama dia berselisih dengan Ismanira Abdul Manaf adalah pada jam 12.15 tengah hari ketika dia mahu menghantar anak sulung ke sekolah.
Rashidah yang sudah tinggal di blok berkenaan sejak 2013, memaklumkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Berikut soal jawabnya di mahkamah:
Raja Zaizul: Apa yang berlaku pada 5 Disember?
Rashidah: Pada hari itu, lebih kurang 12.15 tengah hari, saya melakukan rutin biasa menghantar anak pertama ke sekolah. Saya terserempak dengan ibu Zayn Rayyan (Ismanira) di tangga. Selepas itu, saya terus menghantar anak ke sekolah. Dalam 12.35 tengah hari, saya balik dan terjumpa ibu Zayn Rayyan hendak turun ke tingkat satu.
Raja Zaizul: Selepas itu?
Rashidah: Saya berselisih dari tingkat paling bawah ke tingkat atas, kemudian terus balik ke rumah. Saya dihubungi suami pada 12.45 tengah hari dan diberitahu adik Zayn Rayyan hilang.
Saksi itu berkata, dia melihat Ismanira dalam dua pakaian berbeza selang 20 minit kemudian.
Raja Zaizul: Masa puan jumpa kali pertama pada 12.15 tengah hari, puan ingat pakaian dia?
Rashidah: Dia pakai tudung warna hitam, baju warna putih, kain atau seluar macam palazzo warna hitam.
Raja Zaizul: Kali kedua, ingat tak dia pakai baju apa?
Rashidah: Saya tak ingat keseluruhannya, tetapi tudung bercorak dengan warna sedikit gelap.
Raja Zaizul: Adakah pakaian pada 12.15 tengah hari dan 12.35 tengah hari sama?
Rashidah: Tak sama, lain.
Raja Zaizul: Masa dia berhenti memberi laluan, ada tengok muka dia?
Rashidah: Dia tunduk.
Raja Zaizul: Dia ada bawa apa-apa?
Rashidah: Dia galas beg sekolah warna biru merah.
Artikel berkaitan: “Macam main kejar-kejar” – Saksi Lihat Dua Budak Bermain Pada Hari Zayn Rayyan Hilang
Artikel berkaitan: Saksi Kata Bapa Zayn Rayyan Ucap ‘Celaka, Siapa B*nuh Anak Aku’ Lepas Jumpa Jasad
Saksi tak pernah lihat Zayn Rayyan main di taman
Dalam pada itu, saksi yang sama juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah melihat arwah Zayn Rayyan bermain di taman permainan sekitar apartmen tersebut.
Raja Zaizul: Kenal adik Zayn Rayyan?
Rashidah: Kenal tak kenal, tapi pernah nampak.
Raja Zaizul: Anak-anak puan pernah main dengan dia?
Rashidah: Tak pernah, Zayn tak pernah bermain di luar.
Raja Zaizul: Puan tahu ke kenapa Zayn Rayyan tak pernah main di luar?
Rashidah: Saya tak pasti.
Raja Zaizul: Kenapa cakap Zayn tak pernah main di luar, boleh terangkan?
Rashidah: Anak saya selalu main basikal di luar koridor, tetapi saya tak pernah nampak Zayn main.
Raja Zaizul: Anak puan ada main dekat taman permainan?
Rashidah: Pernah, anak selalu main dan saya temankan mereka di luar.
Raja Zaizul: Selalu main jam berapa?
Rashidah: Petang.
Raja Zaizul: Masa bermain petang, pernah tak tengok Zayn di taman permainan?
Rashidah: Tak pernah.
Raja Zaizul: Masa puan hantar dan ambil anak sekolah, ada tak nampak Zayn di taman permainan?
Rashidah: Tak pernah.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 30 tahun itu, sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia 6 tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember, hingga jam 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding akan bersambung hari ini.
Sumber: Harian Metro