Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mendapati ibu kepada kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya sebentar tadi.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, di akhir kes pembelaannya.
Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes ini.
“Pada masa sama pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah. Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan sebagaimana dalam pertuduhan kes ini,” katanya ketika membaca keputusan pagi ini, pada Jumaat.

Artikel berkaitan: “Naik rumah letak barang kurang 5 minit” – Ismanira Sangkal Dakwaan Tukar Baju Masa Zayn Rayyan Hilang
Artikel berkaitan: Ismanira Nafi Mesej ‘Lantaklah Nak Hidup Ke Nak M*ti’ Dituju Kepada Zayn Rayyan
Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kes bagi rayuan hukuman.
Menurut fakta kes, pada 13 Jun 2024, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen yang sama.
Namun pada 21 Julai, mahkamah telah memerintahkan Ismanira untuk membela diri, manakala Zaim pula dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu telah didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, dan telah mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan berkenaan didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Astro AWANI, Kosmo
