Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Pihak SPRM berkata, fokus siasatan kini tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
Menurut SPRM, arahan itu adalah mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.
Walaupun bekas Perdana Menteri ke-9 itu sudah melakukan pengisytiharan harta secara rasmi pada 10 Februari lalu, pihaknya akan memanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.
Artikel berkaitan: Mantan Perdana Menteri Akan Dipanggil Semula Untuk Bantu Siasatan – SPRM
Artikel berkaitan: “Saya tak perasan ayah semakin tua” – Nina Luah Rasa Sebak, Ismail Sabri Stabil Lepas Pengsan
Wang tunai RM170 juta disita, 16kg jongkong emas dirampas
Dalam pada itu, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan merampas 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Jelasnya, wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam mata wang Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.
Ia adalah hasil pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai ‘safehouse’, susulan penahanan empat individu pada minggu lalu.
Terdahulu, dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan SPRM membantu siasatan lanjut berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau.
Sumber: Berita Harian