Kes berat ni!
Semalam seorang individu berkongsi di Twitter kisah bagaimana salah seorang ahli keluarganya dibelasah dan hampir dirogol dalam hostel di sebuah IPTA bulan Julai lalu. Pun begitu, ada yang mendakwa kes tu nak ditutup sebab nak jaga nama baik universiti tempatan berkenaan.
Tertuduh yang terlibat dikatakan seorang pegawai keselamatan bertugas di hostel perempuan pada waktu tu dan mempunyai dua orang anak. Individu tersebut turut menceritakan bahawa mangsa telah ditumbuk sampai mata merah, tangan ada kesan ikatan dan dia kena cekik sampai rasa macam nak meninggal.
Menurut SabahKini2, tertuduh berusia 26 tahun yang bernama Arshad Masdin menanggalkan baju mangsa secara paksa pada jam 12:30 tengah malam di dalam bilik asrama institusi pengajian tinggi tu. Arshad juga didakwa memukul mangsa sehingga lebam dan merogol secara kejam kerana mangsa dikatakan sedang datang haid.
“Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Pengadu dalam kes ini bukan lagi berada di Kota Kinabalu, tetapi kini di negeri Kelantan,” kata peguam yang mewakili tertuduh ketika memohon tertuduh diberikan ikat jamin.
Kes ni masih kecoh tapi terdapat dakwaan mengatakan ada usaha untuk menutup kes hingga pertuduhan kes dari merogol ditukar kepada cubaan merogol. Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas kesalah yang dilakukan.
SabahKini2 juga melaporkan bahawa pihak universiti tersebut cuba untuk menutup kes tersebut daripada tersebar luas atas alasan ia boleh mencemarkan nama baik universiti. Lebih teruk lagi kakak kepada Arshad dikatakan seorang Pegawai Khas kepada Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Jadi dia gunakan Timbalan Naib Canselor untuk selamatkan adik dia daripada hukuman lebih berat. Biar betul?
Dalam satu entri Facebook, seorang alumni dari IPTA berkenaan mendedahkan bahawa Pegawai Tinggi Keselamatan universiti tempatan itu meminta Timbalan Naib Canselor HEPA mengambil tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi menutup mulut mahasiswa di universiti berkenaan.
Seorang lagi individu juga mendedahkan yang banyak kes rogol berlaku di universiti berkenaan, tapi semuanya telah ditutup oleh pihak pengurusan universiti semata-mata demi nak jaga nama baik IPTA.
“Makin benci saya dengan mereka. Lebih banyak kes rogol ditutup. Mahasiswa dan mahasiswi diminta diam untuk menjaga nama baik universiti.”
Disebabkan pelbagai krisis disebalik kes berkenaan, ramai mengambil jalan untuk memaklumkan hal ini kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Belia dan Sukan dengan cara cuba tag nama dorang kat Twitter.
Keselamatan mahasiswi bukan isu yang harus dipandang ringan. Semoga kes ni akan dapat dibicarakan tanpa kepentingan pihak tertentu dan akan dapat diselesaikan dengan adil.