in

Inkues Zara Bukan Kali Pertama, Ini 3 Kes Inkues Yang Pernah Menggemparkan Negara

Untitled design 16

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kalau dilihat kepada kes-kes kematian yang pernah berlaku di Malaysia, sebenarnya kes kematian Zara Qairina yang sedang menjadi perhatian negara ini bukanlah kes inkues yang pertama pernah dijalankan.

Sebelum ni pun, ada beberapa kes lain yang pernah menjadi perhatian negara. Jom kita throwback satu-satu kes melibatkan inkues yang pernah menggemparkan negara kita.


Teoh Beng Hock 

teoh beng hock

Nama Teoh Beng Hock pernah menggemparkan negara lebih sedekad lalu. Anak muda kelahiran Melaka ini lahir pada tahun 1979, menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Sin Chew Daily.

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, Teoh mengambil langkah baharu dalam hidupnya dengan meninggalkan dunia kewartawanan dan beralih menjadi pembantu politik kepada Ean Yong Hian Wah, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor ketika itu di bawah Pakatan Rakyat.

Pada 15 Julai 2009, pejabat Ean Yong telah diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Teoh dipanggil semula ke pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam bagi membantu siasatan.

Namun, pada keesokan harinya, 16 Julai sekitar jam 1 petang, negara dikejutkan dengan penemuan mayat Teoh di bumbung tingkat lima bangunan Plaza Masalam. Hasil siasatan mendapati beliau jatuh dari tingkap tingkat 14.

Bagi menentukan punca kematian, satu inkues dimulakan pada 5 Ogos 2009 yang dikendalikan oleh Koroner Azmil Mustapha Abas. Prosiding ini berlangsung selama 17 bulan dengan dua teori utama diketengahkan iaitu sama ada bunuh diri atau dibunuh.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock pada 2009 bukan berpunca daripada bunuh diri atau dibunuh, dan turut menolak penglibatan pihak ketiga.

Namun, pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyatakan kematian Beng Hock berlaku akibat bunuh diri.

Tiga tahun kemudian, 5 September 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut dan menegaskan kematiannya disebabkan perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu yang tidak dikenali.

Pada 4 Februari lalu, Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya akan menggunakan teknologi pengimbas 3D untuk ‘crime scene reconstruction’ dalam usaha siasatan semula kes kematian Beng Hock.

Namun, pada Mei lalu, polis mengesahkan siasatan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA)sekaligus menutup kes yang sudah lebih 15 tahun ini.

Artikel Berkaitan: Memahami Istilah Undang-Undang di Sebalik Inkues Kes Zara Qairina – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Pakar Patologi Berpendapat Zara Qairina Tidak Mungkin Terjatuh Secara Tidak Sengaja Atau Ditolak – Lobak Merah

Ahmad Sarbani Mohamed 

ahmad sarbani

Dua tahun selepas tragedi Teoh Beng Hock, seorang lagi mangsa turut ditemui mati di bangunan SPRM. Kali ini melibatkan seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Ahmad Sarbani Mohamed.

Beliau merupakan Penolong Pengarah Kastam Selangor yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang. Beliau menjadi sebahagian daripada siasatan besar-besaran membabitkan 62 pegawai Kastam berhubung dengan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Difahamkan bahawa beliau hadir ke pejabat SPRM di Jalan Cochrane untuk bertemu pegawai penyiasat. Menurut SPRM, Ahmad Sarbani diminta menunggu sebentar di sebuah bilik sementara pegawai berkenaan mengambil fail siasatan.

Tetapi tidak lama kemudian, beliau didapati hilang dan sekitar jam 10.15 pagi, mayatnya ditemui terbaring di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan itu di mana beliau dipercayai jatuh dari tingkap pantri di tingkat tiga.

Kes ini sekali lagi mencetuskan kontroversi besar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon agar satu inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian. Prosiding inkues bermula 4 Julai 2011 di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur dan dipengerusikan oleh Koroner Aizatul Akmal Maharani.

Sepanjang 13 hari perbicaraan, seramai 34 saksi dipanggil, termasuklah pegawai SPRM, pegawai Kastam, pakar patologi, pegawai forensik, ahli kimia, anggota polis, rakan setugas dan juga isteri Allahyarham, Masiah @ Maziah Manap.

Terdapat beberapa penemuan penting yang telah diketengahkan di mahkamah. ASP Zuhairi Mohamed, pegawai penyiasat kes, menjelaskan bahawa kematian Ahmad Sarbani tidak melibatkan unsur jenayah mahupun bunuh diri, sebaliknya diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Hasil bedah siasat turut menunjukkan tiada sebarang kesan kecedaraan akibat dipukul, tiada bukti pertahanan diri, dan tiada nota bunuh diri ditemui. Malah, sampel cat yang ditemui pada seluar Allahyarham sepadan dengan cat pada tingkap pantri tingkat tiga, iaitu lokasi beliau dipercayai jatuh.

Isu DNA asing yang ditemui pada barang kes pula akhirnya dijelaskan berpunca daripada pencemaran silang, kerana mayat Ahmad Sarbani dibedah di meja yang sama dengan dua mayat lain sebelum itu.

“Kemungkinan dua DNA berkenaan adalah milik ahli kimia yang menjalankan analisis atau patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mangsa,” kata ahli Kimia Dr Seah Lay Hong ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid.

“Dua DNA itu adalah milik Soo Chew Kheong yang dibedah pada 5 April lalu dan Lum Chee Weng yang dibedah pada 6 April lalu. Perkara ini berlaku berikutan mangsa (Ahmad Sarbaini) dibedah di atas meja yang sama digunakan oleh kedua-dua mayat itu menyebabkan DNA Soo dan Lum melekat pada badan Ahmad Sarbaini,” katanya.

Pada 26 September 2011, koroner Aizatul Akmal mengumumkan keputusan rasmi kematian Ahmad Sarbani bukan kerana bunuh diri atau dibunuh, sebaliknya menetapkan sebagai mati mengejut.

Namun keputusan ini tidak meredakan persoalan orang ramai. Malah, isteri Allahyarham telah memfailkan tuntutan saman RM8 juta terhadap SPRM, kerajaan dan tujuh defendan lain. Kes ini akhirnya kekal sebagai kes paling kontroversi dalam sejarah siasatan SPRM, meninggalkan persoalan yang masih diperdebatkan sehingga ke hari ini.

Muhammad Adib Mohd Kassim 

adibb e1756966815212

Seorang lagi kes inkues yang pernah menggemparkan negara ialah membabitkan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pada 26 November 2018, tercetus pergaduhan antara dua kumpulan berhubung dengan isu pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya. Kekecohan awal pagi itu menyebabkan 18 kenderaan terbakar, lebih 700 anggota keselamatan dihantar ke lokasi dan 17 orang ditahan pihak polis.

Keesokan harinya, 27 November, kekecohan berlanjutan sehingga mengorbankan seorang anggota bomba. Muhammad Adib yang bertugas dengan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas diserang ketika menjalankan tugasnya.

Adib dimasukkan ke Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN). Selama lebih tiga minggu, seluruh negara mengikuti rapat dengan perkembangan kesihatannya di mana pada mulanya dikhabarkan keadaannya stabil dan sempat menunjukkan tindak balas positif.

Namun, pada 17 Disember 2018, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian Adib yang disahkan meninggal pada jam 9.41 malam di IJN.

Pemergian Adib menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai punca sebenar kematiannya. Disebabkan itu, satu prosiding inkues diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara bermula pada 11 Februari 2019.

Inkues tersebut berlangsung selama 41 hari sehingga 24 Julai 2019, dengan 30 saksi dipanggil termasuk pakar forensik tempatan dan antarabangsa. Sebanyak 137 bahan bukti turut dikemukakan sepanjang prosiding.

Akhirnya pada 27 September 2019, koroner Rofiah Mohamad memutuskan bahawa kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenalpasti, bukannya akibat kemalangan semata-mata. Koroner turut menegaskan kelemahan pihak polis dan FRU dalam mengawal rusuhan menyumbang kepada insiden tragis itu.

Pada tahun 2020, kertas siasatan berhubung kes ini telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk mencadangkan membuka semula inkues sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, rujukan semula kes berkenaan turut mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terlibat dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Namun, bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, berkata cadangan itu hanya membuang masa kerana ia akan melengahkan lagi keadilan buat arwah anaknya setelah hampir dua tahun kejadian itu berlaku.

Jadi, proses perundangan terus berlarutan sehingga ke peringkat rayuan. Ia membabitkan dua rayuan oleh bapa Allahyarham Adib bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, mengemukakan rayuan.

Pada tahun 2022, peguam cara mewakili Mohd Kassim, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates, mengesahkan bahawa pihak keluarga menarik balik rayuan tersebut kerana tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini.

Kenyataan itu turut menegaskan penarikan balik berkenaan sama sekali tidak mengubah dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019, yang sudah pun memutuskan bahawa kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Kes-kes ini jelas menunjukkan bahawa setiap kali berlaku kematian yang meragukan, prosiding inkues pasti menjadi jalan utama untuk mencari jawapan. Dari sinilah kita boleh nampak betapa besar peranan inkues, kerana ia ibarat mampu mengubah naratif tentang kematian seseorang itu.

Jadi, tidak hairanlah mengapa inkues kematian Zara Qairina turut menjadi perhatian seluruh negara. Rakyat masih menunggu kebenaran dibongkar dan keadilan ditegakkan, sama seperti kes-kes terdahulu yang pernah menggemparkan Malaysia.

Sumber: Rage, MalaysiaKini, Mstar, Berita Harian, Astro Awani 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.