Pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35), Bell Ngasri akhirnya menerima tajaan kereta jenama Mini Cooper Clubman bernilai RM200,000 daripada syarikat kenderaan DTC Motors.
Menerusi majlis penyerahan yang diadakan pada pagi Isnin, Bell yang terkenal dengan tagline ‘yak yak yeay’ meluahkan rasa terharu dan bersyukur kerana ini kali pertama dia menerima hadiah mewah dalam hidupnya.
“Saya tak pernah dapat hadiah sebesar ini. Saya nak cakap dapat kereta apa pun saya seronok sebab ia percuma. Tapi pihak DTC nak bagi kereta ni (Mini Cooper) dan saya memang suka,” ujarnya menerusi video live di Facebook Berita Harian.
Menurutnya, dia tidak dapat tidur lena kerana terlalu teruja memikirkan mengenai hadiah berkenaan.
Kereta mewah tersebut diserahkan oleh pemilik DTC Motors, Afendy Wahid yang turut diiringi penyampai radio Hot FM iaitu Khairy Jamaluddin.
Bell juga mengakui kenderaan mewah yang diterima itu merupakan kereta idamannya selama ini.
“Alhamdulillah ini kereta idaman saya selama ini. Ini semua kuasa dan anugerah Allah. Terima kasih banyak.
“Anugerah ABPBH 35 adalah anugerah terbesar yang pernah saya terima dan bertambah dahsyat bila dapat sebuah kereta” katanya.
Memetik sumber mStar, sebelum ini Afendy memaklumkan pemberian kereta itu juga termasuk jaminan dan tambahan aksesori.
Hasratnya mahu menghadiahkan kereta itu selepas melihat tiada sebarang pihak berbuat demikian selain merasakan pelakon dan pelawak itu layak menerima hadiah tersebut.
Rezeki tak salah alamat, tahniah Bell dapat hadiah kereta idaman!
Baca: Dipersoal Kenapa Bell Ngasri Tak Dapat Hadiah Kereta, Penaja ABPBH 35 Perjelas Sebabnya