Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menganggap keputusan beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta serta lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN adalah sebagai hadiah buat suaminya.
“Sudah tentu saya akan beritahu dia bukan sahaja hadiah untuk hari jadi saya tapi juga hadiah untuk Bossku,” ujarnya.
Selepas prosiding, Rosmah yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-73 pada 10 Disember lalu turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguamnya yang bertungkus-lumus dalam kes ini.
Artikel berkaitan: Rosmah Dilepas & Dibebaskan Dari 12 Pertuduhan Ubah Wang Haram, LHDN
“Ucapan terima kasih kepada hakim yang membuat keputusan yang tepat, ini dikatakan sebagai satu keadilan dan semua orang patut mendapat keadilan itu. Jangan main-main dengan keadilan,” katanya.
Terdahulu, Rosmah dalam permohonannya sebelum ini berhujah, kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan prosedur dalam kes itu.
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rayuan yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Sumber: Kosmo!