Kontroversi yang berlaku di Festival Goodvibes 2023 baru-baru ini telah menjadi topik terhangat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Ia berlaku apabila vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy yang dilaporkan dalam keadaan mabuk telah mengutuk undang-undang Malaysia mengenai LGBT sebelum mencium pemain bassnya, Ross MacDonald.
Ekoran ini, Kementerian Komunikasi dan Digital telah pun mengharamkan kumpulan ini dari membuat persembahan di Malaysia pada masa hadapan.
Tapi kalau korang nak tahu, The 1975 bukanlah artis antarabangsa pertama yang telah diharamkan untuk membuat persembahan di Malaysia, ada beberapa lagi artis yang pernah digam sebelum ni. Jom tengok siapa artis tersebut dan apa sebabnya.
1. Kesha
Pada tahun 2013 yang lalu, penyanyi yang pernah popular dengan lagu “Tick Tock”, Kesha pernah dijadualkan untuk membuat persembahan di Malaysia ketika membuat tour antarabangsa.
Namun begitu, sehari sebelum penyanyi ini sepatutnya membuat persembahan, Livescape yang merupakan penganjur konsert Kesha di Malaysia ini memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan membuat persembahan atas alasan sensitiviti terhadap budaya dan agama.
Ekoran ini, Kesha telah bersetuju untuk menukar lirik lagu dan pakaiannya bagi mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh PUSPAL namun begitu dia tetap tidak dibenarkan untuk membuat persembahan.
Menerusi Twitter, penyanyi ini menerangkan kepada peminatnya bahawa dia tidak membatalkan konsert tersebut pada saat akhir tapi dia telah diugut untuk dipenjarakan sekiranya penyanyi ini tetap nak meneruskan persembahannya.
Saya tak batalkan. Saya tak dibenarkan untuk membuat persembahan dan bila saya tetap nak teruskan, saya diugut untuk dipenjarakan.”
Dilaporkan, penganjur konsert telah menanggung kerugian sebanyak RM1.1 juta ekoran pembatalan saat akhir ini.
2. Erykah Badu
Penyanyi dan rapper Erykah Badu pernah memasukkan Malaysia sebagai salah satu destinasi di Asia untuk tour yang dibuat pada tahun 2012.
Namun begitu, terdapat satu gambar telah tular di media sosial pada ketika itu menunjukkan penyanyi ini membuat tatu sementara menggunakan kalimah “Allah” sehingga mendorong pihak berkuasa membuat keputusan untuk membatalkan persembahan tersebut.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada ketika itu Tan Sri Rais Yatim mengatakan, kontroversi disebalik gambar tersebut boleh menggugat keselamatan negara dan menyebabkan impak negatif kepada imej kerajaan.
Ketika pengumuman tersebut dikeluarkan, Erykah Badu telah pun tiba di Malaysia dan dikatakan penyanyi ini dibenarkan untuk tinggal di Malaysia sebagai pelancong tapi tak boleh meneruskan persembahan.
3. MEGADETH
Pada tahun 2001, kumpulan metal Amerika MEGADETH pernah dijadualkan untuk membuat persembahan di Malaysia namun ia telah dibatalkan serta band ini diharamkan untuk membuat persembahan di negara ini ekoran pihak berkuasa tempatan berpendapat imej dan muzik yang dibawa berunsur negatif.
Namun begitu, pada tahun 2017, band ini akhirnya dibenarkan untuk membuat persembahan di Malaysia. Malah, vokalis kumpulan ini turut memberikan komennya tentang kes pernah digam sebelum ini.
Ada orang dekat kawasan terpencil buat ritual black metal dan bunuh seseorang sebelum bagi penghargaan dekat kami dengan sembur cat MEGADEATH dan SLAYER di dinding.”
4. Lamb of God
Kumpulan heavy metal, Lamb of God pernah ditempah untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2013.
Namun dilaporkan, Kementerian Komunikasi dan Digital pada ketika itu tak mahu mengeluarkan permit atas alasan persembahan tersebut berpotensi untuk melanggar sensitiviti dan nilai kebudayaan di Malaysia.
Salah satu sebab adalah kerana muzik kumpulan ini dikenali kerana sering mencampurkan petikan dari Al-Quran ke dalam lagu mereka.
Selain itu, penganjur konsert turut membatalkan persembahan tersebut atas alasan keselamatan kerana kumpulan ini telah menerima ugutan bunuh.
5. Beyonce
Kalau korang nak tahu, Beyonce pernah dijadualkan untuk membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2007. Tapi lepas pengumuman tersebut dibuat, penyanyi ini telah membatalkan Malaysia sebagai destinasi sebagai protes terhadap peraturan pemakaian yang ketat.
Namun begitu, Malaysia sekali lagi dimasukkan dalam tour Asia Beyonce pada 2009 sebelum ditangguhkan selepas beberapa ahli PAS telah membuat protes mengatakan konsert ini akan mempromosikan persembahan seksi dari Barat dan tidak bermoral.
Walaupun kerajaan tidak mengharamkan persembahan Beyonce secara rasmi, tapi macam tak nampak pun tanda-tanda penyanyi ni akan perform dekat Malaysia.
6. Rihanna
Rihanna sepatutnya membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2009 dan bersetuju untuk mengikut peraturan pakaian yang ditetapkan oleh PUSPAL namun tour Rihanna pada ketika itu telah ditangguhkan selepas berita melaporkan bekas teman lelakinya Chris Brown telah melakukan serangan fizikal terhadap penyanyi itu.
Sumber: Vulcan Post
Baca: Vokalis Band The 1975 Memang Bermasalah? Ini 5 Kontroversi Matty Healy Sebelum GVF 2023…