Kalau korang perasan, filem-filem tempatan yang ditayangkan selalunya berpusing antara genre seram, komedi dan juga action. Namun, atas kejayaan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada 2022, filem bergenre sejarah dan biopik ni makin diketengahkan oleh pengarah Malaysia.
Disebabkan tu juga, terhasillah filem Anwar: The Untold Story yang merupakan filem biopik berdasarkan PMX kita. Tapi, sebenarnya ada lagi filem tempatan bergenre tersebut yang confirm korang tak pernah tahu pun sebelum ni macam dekat senarai bawah ni!
1. Empayar: Dendam Taming Sari
Filem biopik ni menceritakan semula tentang Hikayat Hang Tuah yang berlatarkan zaman kerajaan Melayu Melaka dan Majapahit pada zaman dahulukala.
Pada awalnya, studio penerbitan, Cinequip Productions ingin mengangkat karya epik tempatan ke arah lebih tinggi dengan mengeluarkan filem ni dalam bentuk trilogi di samping menggabungkan elemen fantasi mengikut fakta sejarah.
Dikatakan, filem ni banyak menggunakan visual CGI sehingga 70% dengan bajet sekitar RM5 juta. Walaupun begitu, pengarah filem berkenaan mengatakan proses untuk siapkan filem tersebut sangat sukar dan memerlukan daya imaginasi yang tinggi.
Sejak pengumuman terakhirnya pada 2010 lagi, masih tak ada sebarang pengumuman rasmi oleh pihak produksi sama ada filem ni akan dijayakan ataupun sebaliknya.
Artikel berkaitan: “Ini bukan kisah Marina” – 12 Kali Rombakan Skrip, Penerbit Tetap Akan Teruskan Filem Biopik Tun M
2. Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen
Sebenarnya, Malaysia pun hebat dengan penghasilan filem biopik setanding luar negara. Buktinya, filem Dawn Raid arahan Bront Palarae ni mampu menggegarkan pawagam Malaysia jika ia berjaya ditayangkan.
Dengan menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Shaheizy Sam dan Sofia Jane, ia menceritakan tentang peristiwa bersejarah, Serangan Subuh Guthrie 1981 yang memaparkan sekumpulan individu yang berusaha untuk dapatkan hak ke atas Guthrie Corporation semula daripada kerajaan Britain.
Meskipun begitu, filem ni masih belum diterbitkan walaupun trailer-nya dah keluar lebih lima tahun lepas. Dipercayai, Bront masih kekurangan dana untuk menjayakan filem ni. Namun begitu, harapan dia dan peminat lain agar movie ni berjaya ditayangkan masih lagi ada.
3. Mahathir: The Journey
Dari tajuknya korang dah boleh tahu yang filem biopik ni berkisarkan tentang perjuangan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dari mula dia letak jawatan pada 2003 sehingga naik semula menjadi PM pada tahun 2018.
Filem yang dilakonkan oleh barisan pelakon veteran seperti Azhar Amir dan Fauziah Latiff ni turut menerima kritikan dari anak sulung Dr. Mahathir iaitu Datin Paduka Marina yang mengatakan filem ni ‘memalukan’ keluarganya.
Walaupun tiada persetujuan dari keluarga Mahathir, penerbit filem tersebut iaitu Yusuf Kelana masih meneruskan penggambarannya. Menariknya, biopik ni melalui rombakan skrip sebanyak 12 kali sebelum mendapat kelulusan 100% daripada Pejabat Perdana Menteri untuk ditayangkan di pawagam.
Akan tetapi, tayangannya yang sepatutnya bermula pada Julai 2021 masih lagi ditangguhkan sehingga hari ini.
Artikel berkaitan: Bapa Bom Atom: Ini Kisah Sebenar Disebalik Filem ‘Oppenheimer’
4. Hasmah – Bila Deh Bertemu Det
Kalau tadi cerita pasal Dr. Mahathir, ini pula filem berkenaan isterinya iaitu Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Dengan memegang genre biopik romantik, ia mengisahkan tentang ceritanya dalam menjadi tulang belakang buat Mahathir ketika suaminya itu bergelar pemimpin negara. Selain tu, ia juga dibarisi pelakon hebat dengan Nad Zainal memainkan watak Tun Hasmah manakala Hasnul Rahmat melakonkan watak Tun Mahathir.
Seperti filem Mahathir, ia turut berdepan isu di mana pihak produksi mengalami masalah untuk tentukan siapa yang bakal mengarah filem tersebut. Namun begitu, pada 2019, penerbit filem tersebut telah mengumumkan sebanyak empat cadangan pengarah iaitu Faozan Rizal, Erma Fatima, Osman Ali dan Khabir Bhatia.
Akan tetapi, sehingga kini masih belum jelas tentang status filem tersebut sama ada ia akan ditayangkan ataupun tidak.
5. P. Ramlee – Jeritan Batinku
Dalam banyak-banyak tokoh dekat Malaysia ni, mesti biopik pasal P. Ramlee yang akan ditunggu-tunggu oleh peminat. Mana taknya, dia merupakan seniman legenda Malaysia di mana banyak karyanya yang terdahulu masih lagi dipertontonkan sehingga kini.
Dikatakan, usaha untuk buat biopik mengenainya telah bermula pada 1983 lagi. Ketika itu, pengarah, Yusaini Amir menggalas tanggungjawab tersebut namun, disebabkan hasil kualiti yang tak memenuhi sasaran, berita tentang penerbitan filem ni kian menyepi.
Tapi, berita baiknya, sebuah syarikat penerbitan dari Malaysia dan Singapura telah bekerjasama bagi menerbitkan biopik P. Ramlee ni.
Dijangka, penggambarannya akan bermula pada pertengahan tahun ni manakala tayangannya pula akan berlangsung pada 2025.
Tak sabarnya!
Sumber: ILUMINASI