Di dalam Al-Quran, terdapat banyak kisah mengenai kaum-kaum yang ingkar dengan perintah Allah sehingga mereka dilaknat dan diturunkan dengan azab Allah.
Menurut hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW sendiri telah menasihatkan umatnya agar tidak masuk ke mana-mana tempat yang dilaknat Allah ini ketika baginda dalam perjalanan ke Tabuk dan perlu melalui Maidan e Saleh yang terletak di Kota Al Ula.
Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dilaknat Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian. Kemudian baginda melajukan pergerakannya meninggalkan tempat itu.”
Malah, kebanyakan ulama bersetuju bahawa melawat tempat yang pernah dilaknat oleh Allah ini adalah makruh dan umat Islam perlu mengelakkan diri dari mengunjunginya.
Jom kita tengok apa antara tempat-tempat dilaknat Allah yang makruh dikunjungi oleh umat Islam ni.
Artikel berkaitan: Al Ula: Ketahui Sejarah Kota Terkutuk & Dihindari Rasulullah Ini
Artikel berkaitan: “Nabi Muhammad pun lalu je” – Video Melawat Al -Ula Kembali Tular, Zul Ariffin Dikecam Netizen?
1. Negeri Kaum ‘Ad
Nabi Hud telah dihantarkan untuk berdakwah kepada Kaum ‘Ad yang terkenal dengan sifat sombong dan riak mereka kerana kekuatan mereka dan kepandaian mereka untuk membuat bangunan yang kukuh. Selain itu juga mereka turut menyekutukan Allah dengan menyembah berhala.
Kaum ‘Ad ini telah diajak untuk beriman kepada Allah serta meninggalkan ajaran nenek moyang mereka yang menyembah berhala, mereka enggan dan disebabkan ini satu musibah telah diturunkan iaitu kemarau berpanjangan sehingga hasil ternakan dan tanaman mati.
Walaupun telah ditimpa musibah, kaum ini masih sombong dan enggan bertaubat serta tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Hud.
Ekoran ini, Allah SWT telah menurunkan bala berupa angin ribut yang sangat kencang sehingga menerbangkan segala yang ada di negeri tersebut dan ianya berterusan selama lapan hari dan tujuh malam.
Dan mereka selalu diikuti dengan kutukan di dunia ini dan di hari kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Aad itu kafir kepada Tuhan mereka. Ingatlah, sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum ‘Aad iaitu kaum Hud”. (Hud: 60)
Negeri Kaum ‘Ad ini terletak di satu tempat bernama Al-Ahqaf di utara Hadralmaut iaitu di antara Yaman dan Oman.
2. Kota Sodom
Kaum Nabi Luth merupakan antara kaum yang paling hina kerana mereka telah melakukan perbuatan keji seperti merompak, mencuri serta melakukan seks sesama jenis.
Disebabkan ini, Nabi Luth telah mengajak kaumnya untuk beriman kepada Allah serta meninggalkan perkara-perkara mungkar yang dibuat secara berleluasa dan tanpa rasa malu.
Walaupun telah berkali-kali dinasihati dan ditakutkan dengan bala Allah, mereka tetap enggan meninggalkan perkara yang mungkar sehingga Nabi Luth telah memohon agar kaum tersebut diberikan azab yang seberat-beratnya.
Sebelum kedatangan azab Allah, Nabi Luth telah membawa isteri dan anak-anaknya untuk keluar dari tempat tersebut dan menyuruh mereka untuk tidak menoleh ke belakang. Namun begitu, isteri Nabi Luth yang turut ingkar dengan dakwah suaminya ini telah menoleh ke belakang kerana sayang untuk meninggalkan kaum tersebut sehingga dia juga turut sama mati dalam azab yang diturunkan oleh Allah.
Tempat Kaum Sodom ini terletak di Kota Sodom atau dikenali dengan nama Laut Mati, iaitu di sempadan antara Israel dan Jordan.
3. Kota Pompeii
Kota Pompeii yang terletak di timur Gunung Vesuvius, Naples, Itali ini telah ditimpa azab selepas terjadinya letusan gunung Vesuvius yang menghancurkan kota tersebut.
Masyarakat yang tinggal di kota tersebut pada sekitar abad ke-6 ini merupakan kaum Osci iaitu kelompok masyarakat di tengah Itali. Mereka telah menjadikan Kota Pompeii sebagai kota pelacuran dan turut melakukan aktiviti seks bebas dan hubungan seksual dengan kaum sejenis seperti Kaum Sodom.
4. Laut Merah
Laut Merah yang terletak di Lautan Hindi di antara benua Afrika dan Asia ini merupakan tempat di mana Allah SWT telah menenggelamkan Firaun dan tenteranya ketika dia memburu Nabi Musa AS.
Nabi Musa telah membelah Laut Merah bagi melarikan diri dari Firaun dan tenteranya selepas Firaun marah melihat sebahagian dari orang-orangnya telah beriman kepada Allah selepas menyaksikan mukjizatnya dan sekaligus menewaskan ahli sihir Firaun.
Selepas Nabi Musa dan pengikutnya tiba ke seberang lautan, Nabi Musa telah pukulkan tongkatnya ke laut dan dengan kekuasaan Allah, laut tersebut telah ditutup semula sekaligus menenggelamkan Firaun dan tenteranya.
Ketika sedar nyawanya akan ditarik, Firaun telah mengungkapkan keimanannya kepada Allah SWT namun taubatnya tidak diterima kerana dia dalam keadaan yang nazak dan tak dapat berbuat apa-apa.
Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan.” (Baqarah: 50)
Sumber: mStar