Sebuah van yang menggesa orang ramai untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dilihat berlegar-legar di jalan sebuah bandar di Carolina Utara.
Lapor Metro UK, pada awalnya, ramai yang menganggap ia adalah kerja golongan anti-vaksin yang sanggup menyewa sebuah papan iklan pada sebuah van untuk cuba mempengaruhi orang ramai supaya tidak mendapatkan suntikan vaksin terhadap virus COVID-19.
Walau bagaimanapun, setelah dilihat dengan lebih teliti, ternyata ia hanyalah satu gimik yang dilakukan sebuah rumah pengebumian palsu yang dikenali sebagai Wilmore Funeral Home.
Lebih menarik, jika anda mencari nama rumah pengebumian ini di laman sesawang Google, anda akan menemui laman web rumah pengebumian ini yang hanya tertera tulisan,
“Dapatkan suntikan vaksin sekarang, Jika tidak, jumpa anda tak lama lagi.”
Selain itu, jika anda menekan pada butang ‘Get vaccinated now’ di laman web rumah pengebumian itu, anda akan dibawa ke sebuah laman web yang memaparkan informasi berkaitan program vaksinasi, StarMed.
Laman web StarMed menawarkan suntikan tiga jenis vaksin yang sudah diluluskan kerajaan Amerika Syarikat iaitu Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson.
“Sesebuah vaksin itu akan menerima kelulusan kerajaan hanya sekiranya ia sudah terbukti selamat dan berkesan. Proses kelulusan membabitkan beberapa panel pakar yang dilantik selain perlu melalui pemeriksaan FDA dan lain-lain,” katanya.
Pun begitu, ada juga individu yang mendakwa gimik pusat pengebumian palsu terbabit seolah-olah mempermainkan mereka yang kehilangan nyawa disebabkan COVID-19.
Sumber: Metro UK
Baca: Pekerja Rumah Pengebumian Mogok, Minta Tambah Kakitangan Bagi Hadapi Gelombang Kedua Covid-19