Semalam, seluruh negara digemparkan dengan satu kemalangan jiwa yang meragut 10 orang dalam nahas pesawat peribadi yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam.
Sejak nahas tersebut berlaku, beberapa rakaman kejadian ngeri itu telah dikongsi orang awam dan menjadi tular di media sosial.
Salah seorang saksi terawal kejadian menceritakan detik-detik cemas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas yang berlaku di depan mata.
Satu lagi video kapal terbang terhempas tadi tapi kali ini yang lebih jelas. pic.twitter.com/of1e7Zq0fl
— Hezeri Samsuri (@HezeriSamsuri) August 17, 2023
Dia yang mahu dikenali sebagai Shyahira merupakan orang pertama yang membuat panggilan kcemasan sejurus selepas insiden berlaku.
Mengimbas kembali detik mengerikan tersebut, Shyahira berkata ketika itu dia sedang memandu berseorangan melalui Lebuhraya Guthrie menuju ke Shah Alam.
“Waktu itu seingat saya hampir pukul 3 petang. Sewaktu memandu hampir sampai di Elmina, saya nampak sebuah pesawat berwarna putih terbang dari arah kiri ke kanan.
“Ia terbang dengan ketinggian yang rendah, secara mengiring dan sangat laju. Terlintas di fikiran, ini pertunjukan udara ke sebab terbang mengiring tapi nampak macam pesawat penumpang.
“Beberapa saat saja, ia menjunam dan serentak itu terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat, diikuti api marak menjulang dan asap hitam berkepul-kepul. Ia menjunam di sebalik bukit melepasi replika papan tanda ‘Elmina’,” ujarnya.
Dia sempat membuat pusingan ‘U’ di hadapan untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas selepas membuat panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut.
Tambahnya, kejadian tersebut masih lagi terbayang-bayang di hadapan matanya biarpun hanya menyaksikannya sekadar beberapa saat.
“Saya rasa macam bermimpi… Inilah perkara paling ngeri yang saya saksikan depan mata,” katanya.
Menurut CAAM, pesawat yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd membawa enam penumpang serta dua kru penerbangan, dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Sumber: mStar
Baca:Proses Kenal Pasti Mayat Nahas Elmina Bakal Ambil Masa, Hanya 1 Ditemui Sempurna – Dr Zaliha