
Sesiapa pun yang berada dalam situasi ni mesti dalam keadaan cemas dan panik. Mana tidaknya, kejadian seperti gempa bumi memang jarang berlaku di Malaysia dan kadangkala kita hanya alami gegaran susulan yang kurang daripada 5 skala richter saja.
Namun gegaran pertama yang bermagnitud 5.2 skala richter di Ranau, Sabah pada jam sekitar 9.06 malam telah meninggalkan kesan trauma serta ketakutan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut yang mengalaminya, lapor Berita Harian.
Menurut salah seorang pendaki Gunung Kinabalu, Nur Nadia Fariha Madon Mashaid, 24, ia merupakan pengalaman sulungnya berdepan dengan detik cemas seperti itu ketika menginap di salah sebuah bangunan penginapan di Laban Rata.

“Saya dan rakan tidak henti-henti berdoa agar semuanya kembali tenang.
“Ibu sempat hubungi ketika berada di kawasan lapang Laban Rata untuk bertanya keadaan saya. Syukur semuanya selamat,” katanya ketika ditemui dekat Pondok Timpohon, Taman Kinabalu selepas dibawa turun dari Laban Rata pagi tadi.
Nur Nadia antara 130 pendaki yang telah dibawa turun oleh pasukan penyelamat di Pondok Timpohon secara berperingkat dari jam 1.30 hingga 4.30 pagi tadi. Manakala rakannya, Maslina Romli, 29, pula berkata, dia sehingga kini masih terbayang tragedi gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu tiga tahun yang lalu.

Pada mulanya, bumbung (bangunan penginapan) bergegar. Saya ingatkan angin kuat tetapi selepas itu, katil turut bergegar sebelum pekikan meminta penghuni di bangunan penginapan keluar menyelamatkan diri kerana gempa bumi.
“Saya terus berlari keluar bersama dua rakan ke kawasan lapang berhampiran penginapan,” kata Maslina yang berasal dari Perlis.
Sumber: Sarawak Viral
Tanpa berfikir panjang, Maslina bersama Nur Nadia dan seorang rakan bernama Devagi, 26, hanya sempat mengambil beberapa peralatan penting dan beredar ke kawasan lapang. Pada ketika itu, mereka dapat merasai gegaran dan dentuman kuat yang dipercayai merupakan runtuhan batu.
Meskipun ketiga-tiga mereka kecewa kerana tidak dapat mendaki hingga ke puncak gunung, mereka bersyukur kerana telah selamat tiba di Pondok Timpohon.
“Kami bertiga bersemangat mendaki Gunung Kinabalu. Ini pertama kali saya bersama rakan mendakinya. Walaupun sedih tidak sampai ke puncak, keselamatan lebih penting,” kata Devagi pula.
Syukurlah semua selamat dan tiada kemalangan serius yang dilaporkan setakat ni. Mungkin lain kali bila dah selamat boleh datang lagi ke situ untuk tunai hajat mendaki ke puncak Gunung Kinabalu.
Baca: Netizen Puji Tindakan Pantas Pekerja Kedai Serbaneka Lindungi Pelanggan Ketika Gempa Bumi