Ibu kepada arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain, Hawa Osman menyatakan harapannya agar hukuman gantung terhadap keenam-enam tertuduh dikekalkan sebagai pembalasan setimpal atas penderitaan yang dialami anaknya.
Dalam tembual bersama Mingguan Wanita, Hawa meluahkan lapan tahun mereka sekeluarga terasa derita apabila perlu menanggung kesedihan sejak hari pertama arwah meninggal dunia disebabkan kekejaman tertuduh.
Hawa berkata, dia sentiasa mendoakan agar keenam-enam tertuduh ke tali gantung dalam setiap sujudnya.
Jelasnya, mungkin ada yang melihat dia agak kejam kerana dirinya mahu semua tertuduh itu ke tali gantung, tapi itulah pengharapannya sebagai seorang ibu.
“Terlalu sukar untuk kami sekeluarga hadapi perkara ini. Cuba bayangkan 90 tekapan seterika di seluruh badan termasuk kemaluan.
“Ini perbuatan kejam dan bagaimana harus saya memaafkan mereka. Jadi biarlah nyawa dibalas nyawa!”
Artikel berkaitan: Peguam Bekas Pelajar UPNM Anggap Hukuman Mati Tidak Selamat & Perlu Diketepikan
Ada keluarga tertuduh sudah meminta maaf
Mengulas lanjut, Hawa memaklumkan ada dua daripada keluarga tertuduh datang bertemunya dan meminta maaf atas apa yang terjadi.
“Mereka minta saya memaafkan dan melupakan semuanya. Walau ibu bapa mereka datang meminta maaf tapi ia takkan sama kalau anak mereka (tertuduh) mengungkapkan perkataan maaf itu.
“Saya kata pada mak ayah yang minta maaf ini, saya sentiasa memaafkan muslimin dan muslimah dalam doa solat saya tapi untuk memaafkan perbuatan kejam enam tertuduh ini, amat berat.”
Dalam pada itu, Hawa mengatakan mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan keadilan buat Zulfarhan sehingga bapa arwah sanggup menangguhkan pembedahan saluran jantung tersumbat bagi memastikan sentiasa hadir pada perbicaraan kes tersebut.
Impian arwah tidak tertunai
Hawa juga berkongsi arwah Zulfarhan bersungguh mendaftarkan haji buat mereka sekeluarga untuk menunaikan Haji bersama.
“Tapi impiannya itu tak tertunai kerana perbuatan jahat enam tertuduh ini. Impiannya dimusnah beberapa bulan sebelum usianya mencapai 21 tahun.
“Ada banyak yang anak mahu lakukan termasuk mahu belikan saya macam-macam bila dah bekerja. Kata arwah, dia akan senangkan saya dengan rezeki gaji diperolehnya.
“Arwah memang anak yang baik dan sentiasa mendahulukan ibu bapa dalam perbuatannya. Tapi semua impiannya itu tak tertunai kerana didera hingga mati.”
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya memberitahu bahawa sabitan serta hukuman mati terhadap enam bekas pelajar UPNM bagi kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, adalah tidak selamat dan seharusnya diketepikan.
Sumber: Mingguan Wanita