Sebuah sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan unit kediaman mewah sebagai pusat operasi berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sekitar Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Khamis lalu. Serbuan berkenaan mendedahkan kegiatan warga China yang menjalankan operasi perjudian menyasarkan pasaran luar negara melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
Memetik laporan Sinar Harian, operasi khas yang dikendalikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu dilaksanakan hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam. Dalam serbuan bermula jam 3.50 petang, pihak berkuasa menahan 11 individu warga China terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Siasatan awal mendapati dua suspek memiliki Pas Lawatan Sosial, lima tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala empat lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian termasuk 11 komputer riba, tiga set komputer, tujuh telefon bimbit dan wang tunai RM3,900.
Sindiket berkenaan dipercayai mengubah suai kediaman mewah yang disewa bagi dijadikan pusat operasi laman perjudian dalam talian. Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah.
JIM menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti jenayah melibatkan warga asing serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Baca: Ikut Mimpi, Warga Emas Terima Bantuan Kerajaan Bulanan Ditahan Beli Nombor Ekor