Bila sebut sahaja ‘jom mancing’, sudah semestinya kebanyakan kaum adam sudah bersiap sedia dengan batang pancing dan segala peralatan memancingnya dalam kenderaan masing-masing.
Dah tak sabar-sabar nak memancing dan membawa pulang hasil pancingan masing-masing. Siap membandingkan lagi siapa punya ikan yang paling besar yang berjaya dipancing.
Jangan pancing atas darat sudah. Takut kena hempuk dengan batang pancing.
Aktiviti ini sememangnya popular dalam kalangan kaum lelaki sebagai ‘terapi’ untuk melepaskan tekanan juga sebagai hobi atau sebagai pekerjaan untuk mencari rezeki.
Namun, banyak risiko dan kejadian-kejadian yang tidak diingini boleh berlaku semasa tengah ‘syok’ memancing ini.
Hampir ajal tercekik ikan
Seperti yang terjadi kepada seorang pemancing dari Kaherah, Mesir ini, dia dikatakan hampir menemui ajal gara-gara tercekik ikan yang berjaya dipancingnya.
Lelaki yang berusia 40 tahun ini telah pergi memancing di Beni Suef iaitu sebuah bandar yang terletak 110 kilometer dari selatan Kaherah.
‘Pegang’ ikan guna gigi
Lapor Gulf News, lelaki berkenaan telah menangkap ikan yang berjaya dipancingnya itu dan ‘memegang’ ikan tersebut menggunakan giginya sementara dia cuba untuk menangkap seekor lagi ikan yang terlepas.
Namun, ikan tersebut dikatakan ‘melompat’ masuk ke dalam mulutnya dan terus ke bahagian tekaknya.
Dia kemudiannya telah dikejarkan ke bahagian kecemasan sebuah hospital di Kaherah dimana dia sedang bertarung nyawa gara-gara kesukaran untuk bernafas dan bercakap.
Melalui pemeriksaan X-ray dan CT scan, ikan tersebut dilihat telah tersekat di bahagian kerongkong lelaki itu. Satu pasukan perubatan telah menjalankan prosedur gastrocopy untuk mengeluarkan ikan itu dan sekaligus berjaya menyelamatkan nyawanya.
Ikan ‘ajaib’ masih hidup ketika dikeluarkan
Menurut doktor, ikan ‘ajaib’ itu dikatakan masih hidup semasa dikeluarkan dari kerongkongnya. Lelaki itu kini masih dibawah pengawasan unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Tambahnya lagi, terdapat dua versi punca kejadian iaitu lelaki berkenaan telah memegang ikan di mulut dan ia ‘tercicir’ sehingga ke bahagian kerongkong.
Versi yang kedua pula ialah lelaki itu cuba mengeluarkan ikan daripada jaring menggunakan mulutnya sebelum ia melompat masuk ke dalam mulutnya.
Ni namanya “berpantang maut sebelum ajal”.
Baca: “2 Hari Menghilang” – Warga Emas Ditemui Maut Dibaham Buaya Selepas Keluar Memancing