Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam satu kenyataan pagi ini mengingatkan bahawa identiti lima remaja yang bakal didakwa berkaitan kes buli pelajar Tingkatan 1, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, tidak boleh didedahkan kepada umum.
Kebimbangan itu dizahirkan SUHAKAM susulan pendakwaan yang bakal dihadapi oleh lima remaja terbabit di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok.
Dalam kenyataan tersebut, SUHAKAM juga menggesa orang awam dan media untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang membabitkan hak perlindungan kanak-kanak.
Mereka berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, wakil guaman, serta layanan yang adil.
Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah, atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka tidak boleh didedahkan kepada umum,” kata kenyataan berkenaan.
Perbuatan menerbitkan identiti kanak-kanak itu juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 akta berkenaan yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup mengikut Seksyen 12 akta sama, dan hanya pihak berkepentingan sahaja dibenarkan hadir dalam prosiding, jelas SUHAKAM.
Tegasnya lagi, keutamaan kini adalah mengelakkan stigma berterusan terhadap kanak-kanak tersebut. Lalu pihaknya menyeru agar semua pihak membiarkan proses keadilan berjalan dengan tertib dan berpaksikan hak kanak-kanak serta kedaulatan undang-undang.
Masyarakat perlu sedar bahawa buli, sama ada di sekolah atau di media sosial, tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk,” katanya.
Dalam pada itu, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok juga disaran untuk mengemaskini dasar dalaman mereka secara proaktif untuk mengesan serta memadam kandungan yang melanggar Akta Kanak-kanak.
Menunggu laporan atau permintaan untuk memadam kandungan juga boleh menyebabkan maklumat haram tersebar luas, sekaligus menjejaskan perlundangan yang dijamin oleh undang-undang.
Nampaknya kena berhati-hatilah kalau nak share berkaitan kes ini.
Sumber: Harian Metro