Seorang ibu berasa pelik dan cemas apabila dua anak lelakinya berusia 8 dan 9 tahun pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan ketakutan. Bagaimanapun, tangisan dua kanak-kanak tersebut membongkar tindakan seorang lelaki pedofilia di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, Petaling Jaya.
Menurut Harian Metro, dua kanak-kanak tersebut telah menjadi mangsa lelaki pedofilia tersebut kelmarin dalam kejadian jam 9.45 pagi ketika mereka sedang menjual kuih di pangsapuri itu.
Berdasarkan maklumat daripada sumber, perbuatan lelaki pedofilia terbabit diketahui selepas ibu mereka bertanya sebelum salah seorang daripada anaknya itu memberitahu mereka telah didatangi lelaki tidak dikenali.
Suspek kemudian menarik tangan mereka secara paksa sebelum melakukan perkara tidak elok kepada kanak-kanak terbabit.”
Akibat ketakutan diperlakukan seperti itu, mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum melarikan diri.”
Wanita berusia 39 tahun itu yang terkejut dengan kejadian menimpa dua anak lelakinya kemudian terus ke Balai Polis Sea Park untuk membuat laporan agar tindakan selanjutnya dapat dilakukan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kejadian terbabit.
Siastaan lanjut kini sedang dijalankan untuk mengesan suspek dan polis dilaporkan akan mengedarkan lakaran fotofit suspek dalam masa terdekat.