Semalam, seorang wanita warga emas dan anak perempuannya telah dilaporkan lemas selepas kereta dinaiki mereka, Proton Persona terjunam ke dalam tasik di Tasik Lake Resort di Serdang, Bandar Baharu, Alor Setar.
Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6.30 petang dan mangsa dikenali sebagai Hasmah Mat Isa, 69 dan anaknya, Noraiza Hashim, 28.
“Siasatan awal mendapati, kereta itu berada di kawasan parkir tasik berkenaan sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.
“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas,” katanya.
Menerusi operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Serdang, Selama dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani, mayat Hasmah dibawa keluar pada jam 8.40 malam dan anaknya pula pada 8.59 malam.
“Allahuu tak kuat tengok abah macam ni” – Jurusolek
Dalam pada itu, tular IG story seorang jurusolek terkenal, Haney Nieza di Facebook yang memberitahu, kemalangan tersebut melibatkan ibu dan kakaknya.
Apa yang lebih menyedihkan, bapa Haney menghidap penyakit pelupa menyebabkan dia sering bertanya siapa yang meninggal dunia walaupun sudah diberitahu oleh jurusolek tersebut akan keadaan ibu dan kakaknya itu. Aduhai…
Dalam pada itu, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
Semoga keluarga mangsa bertabah dengan dugaan yang menimpa. Al fatihah…