Sekarang di media sosial, rata-rata netizen sedang hangat memperkatakan tentang kempen selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Siap ada petisyen dibuat, untuk mengumpul sokongan orang ramai yang membantah rancangan pembangunan yang akan menjejaskan dan membawa kemudaratan kepada ekosistem sekitarnya.
Kawasan yang hendak dibangunkan bukan sekangkang kera, kerana cadangan penyahwartaan itu melibatkan 930.93 hektar dari 957.53 hektar kawasan hutan! Hmm, padanlah orang ramai marah.


Mungkin ada dalam kalangan kita yang belum cakna mengenai perkara ini, ada apa sebenarnya dengan hutan tu? Kenapa ramai yang membantah?
Okay, jom baca perkongsian daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam — antara lapan sebab kenapa kita perlu membantah pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara:
APAKAH KESAN PENYAHWARTAAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA?
1. Penyahwartaan HSKLU akan mengabaikan hak masyarakat Orang Asli yang telah tinggal lebih dari 134 tahun (sekurang-kurangnya sejak tahun 1886). Kerajaan Negeri perlu adil dan saksama bagi melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan;

2. Pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembangunan bercampur akan menjejaskan rangkaian ekologi, mengakibatkan kehilangan habitat hidupan liar termasuk flora, dan kepupusan akuatik;
3. Meningkatkan risiko kebakaran tanah gambut di HSKLU dan kawasan sekitarnya;
4. Meningkatkan risiko penurunan paras tanah dan banjir di kawasan tersebut;
5. Meningkatkan risiko banjir atau kekurangan air. Ini akan memusnahkan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli;
6. Gangguan ekologi kepada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang;
7. Pembangunan di kawasan HSKLU (termasuk penebangan pokok, pengorekan tanah gambut dan pembinaan saliran) membawa kepada pelepasan 5.5 juta tan karbon dioksida (CO2) yang menyumbang kepada pemanasan tempatan dan global serta masalah perubahan iklim;
8. Tiada lagi kawasan penting untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan sebagaimana satu hub kepentingan sosio-ekonomi setempat.
Sayangi hutan kita…
Betapa pentingnya peranan kita semua, dalam mempertahankan hutan hujan yang selama ini banyak berjasa mengekalkan keseimbangan ekosistem — dan menghasilkan pelbagai sumber untuk kemudahan manusia.
Tapi, akibat kerakusan dan ketamakan segelintir individu — khazanah berharga ini sanggup dijarah atas nama pembangunan, demi mengaut keuntungan berganda tanpa memikirkan kesannya kepada penduduk sekitar.
Mungkin kedengaran tidak begitu penting buat sesetengah daripada kita, tapi tidakkah kita pelajari sesuatu dengan memerhatikan perubahan iklim yang berlaku secara besar-besaran di seluruh dunia ketika ini?
Alam telah memberi amaran, namun kita masih lewa.
Apa lagi, tunjukkan sokongan anda. Walau sekecil mana, ia tetap memiliki pengertian yang besar kepada dunia.
Baca: “Weh kesiannya” – Sekumpulan Gajah Hilang Tempat Tinggal Lepas Hutan Ditebang