Penafian: Artikel ini mengandungi gambar/video/penulisan yang mungkin kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Kebijaksanaan pembaca amat diharapkan.
Kes rogol, liwat dan bunuh Chee Gaik Yap yang berlaku di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2006 lalu, telah banyak diperkatakan semula. Ini kerana, semalam panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwa telah sebulat suara untuk mengekalkan hukuman mati ke atas bekas ahli perniagaan, Shahril Jaafar.
Mahkamah berpendapat, fakta kes yang membawa kepada kematian mangsa ini merupakan kes yang luar biasa kerana membabitkan kejadian rogol dan liwat yang dilakukan pada waktu siang di kawasan awam yang sepatutnya menjadi tempat selamat.
Mangsa diperlakukan seolah-olah tiada kehormatan dan harga diri langsung, kes ini menepati prinsip ‘rarest of the rare’ dan mewajarkan hukuman mati dikekalkan.”
Hukuman yang diterima oleh Shahril ini merupakan hasil usaha keluarganya selama lebih 8 tahun untuk menuntut pembelaan atas kematian anaknya. Kalau korang nak tahu kisah tragis Chee Gaik Yap dan penat lelah keluarganya mendapatkan keadilan, baca dekat bawah ni.
Hilang ketika keluar teman adik ‘jogging’
Chee Gaik Yap yang berusia 25 tahun ketika tahun 2006 baru sahaja menamatkan pengajiannya dan bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran di sebuah kilang. Kerana prestasinya yang baik, syarikat tempat dia bekerja telah menjadualkannya untuk dihantar ke Jerman.
Gaik Yap seorang yang sangat aktif bersukan serta turut memiliki tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri, Taekwon-do. Merupakan anak ketiga dari enam adik beradik, Gaik Yap turut mempunyai seorang teman lelaki warganegara China, Luo Zhengqing yang ditemui ketika belajar bersama di UUM.
Kejadian tragis ini bermula pada jam 6 petang Sabtu, 14 Januari apabila Gaik Yap ingin menemani adiknya, Chee Gaik Choon berjogging di Taman Ria Jaya berhampiran rumah mereka. Dengan menaiki motosikal ke taman tersebut, dua beradik ini telah mula berjogging bersama-sama sebelum Gaik Yap mendahuluinya di hadapan.
Gaik Choon hanya melihat kakaknya berlari laju ke hadapan kerana tak boleh menandingi kepantasan Gaik Yap sebelum ketinggalan jauh dan tak dapat melihat kelibat kakaknya. Ketika berlari, Gaik Choon telah melihat sebuah kereta Naza membuat pusingan U dan memecut ke arah kakaknya.
Hairan dengan tindakan pemandu tersebut, Gaik Choon telah meneruskan larian sambil cuba mencari kakaknya, namun dia hanya menemui getah ikat rambut dan kasut milik kakaknya bersama tompokan darah.
Cemas dengan penemuan tersebut, Gaik Choon telah menelefon kakaknya sebelum mereka berdua mula mencari Gaik Yap di seluruh taman tersebut. Selepas pencarian mereka gagal, dua beradik ini telah pulang ke rumah dan memberitahu ibu bapa mereka tentang apa yang berlaku sebelum keluarga ini membuat laporan polis pada hari yang sama.
Selepas laporan tersebut dibuat, satu misi pencarian telah dijalankan oleh pihak polis dan dengan bantuan dari seorang orang awam, mereka telah membawa Inspektor Hashim ke satu tempat penginapan popular iaitu Kelab Cinta Sayang.
Di sana, pihak polis telah menemui mayat Gaik Yap pada jam 3.05 pagi keesokan harinya dalam keadaan separuh bogel di luar kelab tersebut. Mayatnya ditemui terlentang di dalam semak dengan hanya memakai t-shirt yang terangkat sehingga paras leher dan bra berwarna hitam.
Tak cukup dengan itu, satu cecair berminyak turut ditemui di bahagian anggota sulitnya namun tak dapat dipastikan sama ada ia merupakan air mana atau cecair lain. Sampel cecair telah dihantar untuk diuji dan mayat Gaik Yap didapati telah dirogol dan diliwat.
Pihak polis percaya bahawa Gaik Yap telah diculik oleh beberapa lelaki menggunakan kereta Naza Ria yang dilihat oleh Gaik Choon pada petang kejadian.
Hasil bedah siasat & siasatan polis
Mayat Gaik Yap kemudiannya telah di bawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat dan Pakar Forensik, Dr Mohd Suhaini mengatakan bahawa dia telah menemui sebanyak 50 kesan kecederaan di seluruh tubuh mangsa.
Menurut pakar, kematian mangsa adalah disebabkan oleh tikaman bertubi-tubi di bahagian leher sehingga memutuskan urat nadinya. Wanita malang ini dianggarkan meninggal dunia lebih kurang 9 hingga 15 jam sebelum mayatnya dihantar ke hospital.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kesan luka parah pada lubang rahim dan dubur mangsa dan kesemua kecederaan ini telah dilakukan ketika mangsa masih lagi hidup.
Manakala kesan cecair yang ditemui pada alat sulitnya merupakan minyak rambut dan kesan koyakan pada lubang rahim dan dubur menunjukkan bahawa Gaik Yap telah dirogol dengan ganas.
Pihak polis percaya bahawa Gaik Yap telah diekori dan diculik. Seramai enam orang suspek ditahan reman untuk siasatan namun dibebaskan selepas sampel DNA mereka tak sepadan dengan sampel air mani yang diambil dari mangsa.
Bapa Gaik Yap, Ah Sau mengatakan bahawa keluarganya tak dapat menerima kematian anak perempuannya itu selagi pembunuh tak ditemui.
Tak lama selepas itu, 12 orang lagi telah ditahan iaitu warga asing yang bekerja di kelab tersebut, namun kesemua 12 orang suspek ini dibebaskan dua minggu kemudian kerana profil DNA tak sepadan. Tujuh dari mereka telah dihantar pulang ke negara asal ekoran tak mempunyai permit kerja yang sah.
Anak Datuk jadi suspek utama kes pembunuhan Chee Gaik Yap
Selepas kes ini berlanjutan tanpa apa-apa perkembangan, pada tahun 2019, tiga orang suspek baru telah ditahan berkaitan pembunuhan Gaik Yap. Salah seorang daripada suspek ini merupakan Shahril Jaafar, seorang jurujual kereta dan merupakan anak seorang berpengaruh bergelar Datuk.
Shahril yang tinggal berdekatan Kelab Cinta Sayang ini didapati tinggal dengan keluarganya. Siasatan lanjut mendapati, keluarga lelaki ini memiliki kereta Naza Ria cermin gelap, sama dengan penerangan yang diberikan oleh Gaik Choon pada hari kejadian.
DNA lelaki ini telah diambil dan dia telah dibebaskan atas jaminan keluarganya. Namun begitu, sejurus keluar, Shahril telah melarikan diri ke Australia dan menetap di sana sekaligus menyukarkan penyiasatan pihak polis.
Tiga tahun berlalu selepas Shahril meninggalkan Malaysia, pihak polis menerima maklumat bahawa lelaki ini akan pulang ke tanah air secara senyap. Jadi, pada 17 Januari 2012, anggota polis diarahkan untuk bersiap sedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sejurus selepas pesawat dari Perth mendarat, Shahril telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk direman. Shahril kemudiannya telah dibawa ke Mahkamah Tinggi dan didakwa atas tuduhan merogol dan membunuh Chee Gaik Yap.
Tapi pada 25 Jun 2013, Hakim Yang Arif Datuk Zaki telah membuat keputusan menggemparkan dengan mendapati bahawa Shahril tak bersalah kerana pihak pendakwaan gagal mengaitkan suspek dengan kematian mangsa.
Menurut Hakim, segala bukti yang diperolehi hanyalah kebetulan sahaja seperti kereta Naza di mana sesiapa sahaja boleh memiliki kereta tersebut.
Keputusan yang diberikan ini telah membuatkan suspek keluar dari mahkamah dengan gembira sehingga sempat memberikan senyuman sinis kepada lensa kamera. Manakala keluarga Gaik Yap tak dapat menerima keputusan tersebut dan kekecewaan ini membuatkan Ah Sau cuba terjun dari tingkat dua mahkamah tapi sempat diselamatkan oleh orang awam.
Saya mahu keadilan untuk anak saya. Tolonglah saya. Saya dah tunggu lama untuk kes ini. Tolonglah saya!”
Keputusan ini turut mendapat perhatian ahli politik berbangsa Cina sehingga protes aman telah dijalankan di sekitar Sungai Petani menuntut agar kes ini disiasat semula oleh pihak polis. Namun begitu polis mengatakan bahawa keputusan telah pun dibuat dan ia adalah muktamad.
Mencari keadilan untuk Chee Gaik Yap
Ah Sau yang tak pernah lelah untuk mendapatkan keadilan buat anaknya ini turut membuat kempen dan akhirnya kes ini telah mendapat perhatian seorang ahli politik dan peguam terkenal tanah air iaitu mendiang Karpal Singh.
Satu pertemuan telah diaturkan dan hasil perbincangan antara Ah Sau dan Karpal Singh telah membuatkan peguam tersebut bersetuju untuk mengambil alih kes dan membantu bapa Gaik Yap mendapatkan pembelaan atas kematian anaknya itu.
Karpal Singh kemudiannya telah menulis sepucuk surat kepada Peguam Negara untuk melihat kembali kes tersebut kerana berpendapat berlakunya kesilapan apabila suspek utama dibebaskan.
Pada 13 Oktober 2014, Timbalan Pendakwaraya, Tuan Armadajaya telah berhujah dengan tegas di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan dan memberitahu bahawa DNA suspek utama padan 100% dengan DNA yang ditemui pada tubuh mangsa.
Tuan Armadajaya turut mengatakan, tindakan Shahril untuk melarikan diri ke Australia selama tiga tahun juga turut menunjukkan kesalahannya selepas DNA diambil oleh pihak polis. Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Mahkamah Rayuan mengarahkan agar kes ini dihantar semua ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan secara penuh.
Ketika kes ini dibicarakan kali kedua, suspek utama telah membuat kenyataan mengejut mengaitkan dirinya dengan pembunuhan mangsa. Katanya, pada 14 Januari dia telah menelefon seseorang bernama Wayne.
Dia telah meminta individu tersebut untuk menghantar seorang wanita bukan berbangsa Melayu untuk diguna sebagai peleas nafsu selepas menonton video lucah pada pagi hari kejadian. Kemudian katanya, pada jam 4 petang, Wayne memberitahu bahawa wanita tersebut akan menunggunya di Kelab Cinta Sayang.
Pada jam 5 petang, suspek memberitahu bahawa mangsa telah menghampiri keretanya dan dia telah menyuruh wanita tersebut duduk di bahagian belakang kereta. Suspek turut memberitahu mahkamah bahawa mangsa meminta wang berjumlah RM350 untuk perkhidmatannya.
Tambahnya lagi, selepas melakukan hubungan seks dengan mangsa, dia telah meninggalkannya di kawasan tersebut dan ketika itu dia masih lagi hidup. Tapi kemudiannya, Wayne yang dikatakan itu telah tidak dapat dihubungi.
Kemudian, ayah suspek yang merupakan salah seorang saksi pernah memberikan testimoni pada tahun 2012 mengatakan bahawa dia dan isterinya telah membantu anaknya untuk membuang sebilah pisau pada tahun 2006.
Namun begitu, ketika disoal semasa perbicaraan, lelaki ini mengatakan yang dia tak tahu tentang pisau yang disebutkan itu dan tak ingat pernah membuat testimoni seperti itu pada tahun 2012.
Kemudian pada tahun 2012 juga, ayah suspek memberitahu bahawa dia telah menjual kereta Naza miliknya kerana tahu bahawa kereta tersebut merupakan bahan bukti tapi dia sekali lagi menafikan perkara itu dan mengatakan kereta tersebut dijual kerana perlukan wang.
Pun begitu, pihak polis berjaya memberikan bukti kepada mahkamah bahawa pengakuan yang dibuat pada 2012 itu telah direkodkan. Peguam bela cuba untuk membantah dan memohon mahkamah untuk menolak testimoni tersebut dengan alasan saksi polis itu merupakan sahabat bapa suspek dan kenyataan tersebut telah ditokok tambah.
Manakala pihak pendakwaraya telah menimbulkan satu peruntukan undang-undang membolehkan mahkamah menerima pengakuan ayah suspek. Menurutnya, ayah suspek telah menurunkan tandatangan pada setiap muka surat testimoni tersebut.
Selepas kesemua saksi dipanggil dan keterangan diambil, pada 9 Ogos 2015 Mahkamah Tinggi akhirnya memutuskan bahawa Shahril Jaafar merupakan orang yang membunuh Chee Gaik Yap pada tahun 2006.
Keputusan ini ternyata telah menggembirakan Ah Sau dan memberitahu sekiranya anak perempuannya itu masih hidup, dia mungkin telah pun berada di Jerman dan mempunyai pekerjaan yang bagus.
Peguam Shahril bagaimanapun telah membuat bantahan keputusan di Mahkamah Rayuan tapi pada 29 November 2016, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas lelaki ini.
Selepas keputusan dibacakan, Shahril sempat dirakam mengatakan bahawa mangsa tersebut merupakan seorang pelacur.
Anak kau pelacur. Pelacur. Pelacur!”
Peguam Shahril mengatakan bahawa anak guamnya itu memang melakukan hubungan seks dengan mangsa tapi bukan dia yang membunuhnya namun pendakwaraya memberitahu bahawa suspek membuat pengakuan tersebut tanpa mengangkat sumpah, nampak jelas dia hanya mereka-reka cerita untuk melepaskan diri.
Kes ini juga pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan di sana, hakim juga turut mengekalkan hukuman gantung ke atas Shahril.
Semalam, peguam Shahril mengatakan yang anak guamnya itu sudah insaf dan telah pun menjalani rawatan psikiatri dan mahu kembali ke masyarakat dan hidup bersama ibu dan adik beradiknya yang lain, manakala bapanya sudah meninggal dunia.
Namun begitu, permohonannya itu telah ditolak ekoran kes ini terlalu luar biasa dan jarang berlaku ia mewajarkan bagi hukuman mati dikekalkan.
Sumber: X