Sejak bertukar kerajaan, banyak cerita muncul dari pihak pembangkang. Jika beberapa hari lepas kita dengar pasal Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin disaran tinggalkan UMNO, hari ni ada cerita tak sedap didengar pasal Datuk Seri Hishammuddin pula.
Menurut Malaysiakini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selama ini dijangka mungkin akan menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti oleh sebab statusnya sebagai anak kepada Allahyarham Tun Hussein Onn dan sepupu kepada Datuk Seri Najib Razak.
Tapi apabila Barisan Nasional tiba-tiba hilang kuasa lepas PRU14 baru-baru ini, keadaan dah berubah. Malah ada spekulasi yang mendakwa kegagalan ini mendorong Hishammuddin untuk berundur sepenuhnya dari politik.
Sumber turut mendakwa bahawa anak kepada Perdana Menteri ketiga itu menolak untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan dalam UMNO jika parti itu mengadakan pemilihan tidak lama lagi.
Ertinya ini mungkin beliau juga tidak mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden UMNO yang dimilikinya sekarang. Hishammuddin telah cuba untuk dihubungi bagi menjelaskan isu ini namun kenyataan balasnya masih belum diterima.
Sebelum parlimen kerajaan Barisan Nasional dibubarkan, Hishammuddin yang berusia 56 tahun dulunya berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan. Jawatan tersebut kini digantikan oleh Mat Sabu dari parti AMANAH.
Seorang pemerhati politik yang dekat dengan UMNO pula menyatakan bahawa dia tidak terkejut jika Hishammuddin benar-benar enggan bertanding dalam pemilihan akan datang.
“Saya tidak pernah melihat beliau sebagai seorang yang bercita-cita terlalu tinggi.”
“Tambahan pula sekarang Umno tidak menjadi kerajaan, dan ada kemungkinan dia masih penat dan kecewa,” kata pemerhati politik itu lagi.
Kekalahan UMNO di peringkat pusat untuk pertama kali dalam sejarah mendorong pelbagai pihak menggesa supaya semua jawatan dalam UMNO dipertandingkan. Pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi Umno perlu diserahkan kepada ibu pejabat parti antara 1 Jun hingga 17 Jun ini.
Semoga yang terbaik akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan UMNO.