in

Hati-Hati Main Duit Kutu, Jangan Mudah Terpedaya Dengan Keuntungan Lumayan!

Duit Kutu

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pasti ramai antara kita yang main duit kutu kan? Duit kutu, atau juga dikenali sebagai ‘tontine’ atau ‘chit fund’ merupakan satu cara untuk kita menyimpan duit secara cepat. Selalunya, satu skim duit kutu akan disertai beberapa orang pemain yang akan menyumbang wang dalam jumlah tertentu.

Tetapi, bagaimana pula dengan skim duit kutu yang menjanjikan keuntungan lumayan? Sebelum anda sertai apa-apa kumpulan kutu, pastikan anda selidik dahulu latar belakang skim tersebut, lebih-lebih lagi jika ia berskala besar dan menjanjikan pulangan yang tidak masuk akal.


Itulah yang berlaku kepada peserta skim penipuan Sapiza Extra Saving (SSE) yang kerugian besar akibat ditipu satu skim permainan kutu. Menurut PDRM, mereka telah menerima sebanyak 116 laporan yang membabitkan kerugian sebanyak RM 4.4 juta.

Duit Kutu

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, siasatan awal mendapati skim ini telah mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan permainan kutu.

“Siasatan awal mendapati skim ini mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan permainan kutu, bagaimanapun mulai 2021, skim ini mula menawarkan pelan simpanan baharu serendah RM250 hingga RM20,000 dengan tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan.”

Bukan itu sahaja, skim ini turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15-40% daripada jumlah simpanan! Namun, sejak Oktober 2022, skim ini didapati tidak dapat melunaskan pembayaran kepada peserta.

Duit Kutu

Polis telah berjaya menahan individu yang terlibat termasuklah dalang disebalik SSE. Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan 31 hingga 37 tahun.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan mewah, kad-kad pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai dokumen yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan ini.”

PDRM juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa.

“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia dan Security Commission sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim-skim yang meragukan.”

Sumber: Sinar Harian

Baca: Tergamak buat macam ni – Wang Simpanan Dalam Bank Milik Warga Emas Ini Lesap Dikebas Anak Sendiri

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.