Mungkin ramai yang tak pernah dengar tapi korang tahu tak ketika tahun 60-an, Australia pernah ada seorang perdana menteri yang hilang tanpa jejak selepas pergi berenang.
Kejadian ini berlaku pada 17 Disember 1967 di Pantai Cheviot yang terletak di Victoria, Australia. Harold Holt dan empat orang lain yang bersamanya ketika itu bercadang untuk pergi berenang namun selepas menyedari air pasang dan ombak yang kuat, mereka batalkan niat.
Tapi Holt tetap nak teruskan, dengan mengatakan “Aku tahu pantai ni macam belakang tangan aku je” sebelum meneruskan rancangannya untuk pergi berenang.
Artikel berkaitan: “Sekelip mata dah tak ada” – Ini 5 Kes Kanak-Kanak Yang Hilang Tanpa Kesan Di Malaysia
Artikel berkaitan: Jim Thompson: Kisah Kehilangan Misteri ‘Businessman’ Amerika Di Cameron Highlands Pada 1967
Harold Holt sebagai Perdana Menteri
Dianggap sebagai lelaki yang menawan dan sukakan cabaran, Harold Holt telah dilantik menjadi Perdana Menteri Australia ke 17 pada 1966 ketika dia berusia 57 tahun.
Namun popularitinya sebagai ahli politik mula merundum apabila dia dilanda beberapa kontroversi. Holt telah membuat beberapa kesilapan terbuka yang memalukan seperti tersalah memberitahu parlimen mengenai maklumat mengenai salah guna pesawat VIP dan dikritik sebagai seorang yang lemah oleh ahli-ahli partinya sendiri.
Holt juga turut mempunyai kontroversi tentang kehidupan peribadinya. Dia telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan wanita berjaya, Zara Dickens yang dia temui ketika mereka sama-sama belajar di Universiti Melbourne. Pun begitu, dia dikatakan telah mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita bernama Marjorie Gillespie. Malah, Marjorie merupakan orang terakhir yang melihat Harold Hot masih hidup dan telah mengesahkan hubungan sulitnya dengan lelaki tersebut beberapa tahun selepas kehilangannya.
Tak cukup dengan itu, Harold Holt turut mempunyai pendirian yang kuat tentang Perang Vietnam apabila dia merupakan penyokong tegar penglibatan Australia dalam perang tersebut. Namun, tinjauan menunjukkan perubahan sentimen apabila makin ramai orang menunjukkan mereka tak menyokong perang tersebut menyebabkan Holt dilihat sebagai seorang yang tak pandai membuat keputusan.
Kehilangan Harold Holt
Pada 17 Disember 1967, Holt telah membuat keputusan untuk berenang walaupun keadaan cuaca dan laut tidak baik. Manakala Marjorie telah melihat teman lelakinya itu berenang makin jauh dan jauh sehingga air disekelilingnya kelihatan berbuih.
Tak lama kemudian, Holt tak lagi kelihatan sehingga rakannya yang lain telah memanjat tebing berhampiran untuk cuba mencarinya namun gagal.
Alan Stewart antara yang bersamanya pada hari tersebut telah pergi mencari bantuan dan kembali bersama tiga perenang skuba. Perenang ini telah cuba untuk mencarinya namun kerana ombak terlalu kuat mereka tak dapat teruskan.
Ekoran ini, pencarian besar-besaran mula dibuat malah salah satu pencarian terbesar dalam sejarah Australia. Ia melibatkan 200 kakitangan dari Tentera Laut, Tentera Darat dan Pengawal Pantai. Helikopter turut diterbangkan untuk pencarian ini. Namun begitu, operasi ini gagal dan mayat Harold Holt tak pernah ditemui sehingga hari ini.
Pada Januari 1968, tanpa sebab rasmi kematian, Komanwel Australia dan Polis Victoria telah mengeluarkan laporan bersama tentang Holt mengatakan:
Tak ada indikasi lain yang menunjukkan kehilangan mendiang Mr. Holt ada apa-apa unsur lain selain kemalangan.”
Namun begitu, kenyataan tersebut tetap tak dapat hentikan beberapa teori mengenai kehilangan Harold Holt. Ada yang mengatakan Holt telah cuba untuk membunuh diri, yang lain percaya yang dia telah dibunuh oleh CIA dan ada juga yang mengatakan perdana menteri ini telah memalsukan kematiannya serta terdapat konspirasi teori yang dia telah diambil oleh kapal selam Cina.
Walaupun ada beberapa teori ini banyak yang tak masuk akal, kegagalan untuk mendapatkan mayat Holt walaupun pencarian besar-besaran telah dibuat membuatkan orang ramai mempersoalkan insiden tersebut sehingga ke hari ini. Kehilangannya ini juga telah menjadikan Holt sebagai perdana menteri ke-3 di Australia yang meninggal ketika memegang jawatan tersebut.
Anak lelaki Holt, Sam Holt telah menafikan semua teori konspirasi tersebut. Menurut keluarganya, Holt merupakan orang yang sukakan cabaran dan dia bukan seorang yang fikirkan tentang keselamatan diri dan dia memang akan berenang di tempat dan masa yang orang lain tak akan pergi.
Sumber: ati