Hari paling gembira dalam hidup berubah menjadi mimpi ngeri buat seorang pengantin lelaki di China apabila sekumpulan bekas teman wanitanya membuat perarakan pada hari persandingan untuk mensabotaj perkahwinannya.
Menerusi odditycentral.com, insiden tersebut menjadi tular menerusi sebuah rakaman video sejak 6 Februari lalu yang memperlihatkan sekumpulan wanita berdiri di hadapan tempat pasangan mempelai ini berkahwin.
Dalam video tersebut, sekumpulan wanita itu ada memegang sepanduk yang menulis “kami adalah bekas teman wanita Chen Song, dan hari ini kami akan memusnahkan kamu”.
Beberapa tetamu didakwa telah bertanya kepada wanita berkenaan tentang bantahan mereka malah pasangan pengantin itu turut bersemuka dengan mereka.
“Ia agak memalukan saya. Kini, isteri saya dan keluarganya kecewa dengan saya,” kata pengantin lelaki itu.
Walaupun ramai yang menganggap keseluruhan situasi itu adalah gurauan (prank), salah satu wanita dalam perarakan itu mendedahkan bahawa mereka memang berada di sana untuk merosakkan majlis perkahwinan lelaki itu.
Bagaimanapun, pengantin lelaki sendiri mengakui bahawa dia berkelakuan buruk terhadap bekas teman wanitanya itu ketika bersama mereka. Tetapi, dia juga mendakwa bahawa dia sudah dewasa dan sudah berubah.
Walaupun begitu, isteri baharunya dan keluarganya didakwa tidak bercakap dengannya sehingga mereka mendapat penjelasan yang sewajarnya mengenai gangguan di majlis perkahwinan mereka.
Nah, itu lah lain kali jangan sakitkan hati wanita.