Setiap tahun, masyarakat di Sabah akan menyambut perayaan yang dipanggil sebagai Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei sementara orang di Sarawak menyambut Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.
Walaupun ia telah disambut lama oleh masyarakat di Sabah dan Sarawak, ramai orang-orang Semenanjung masih tak tahu tentang perayaan ini. Jadi, hari ini kita boleh tengok perbezaan di antara Pesta Kaamatan dan Hari Gawai ini untuk lebih memahami budaya masyarakat Malaysia Timur ini.
Pesta Kaamatan
Keseluruhannya, Kaamatan adalah perayaan yang disambut semasa musim menuai. Namun begitu, ia juga merupakan satu festival untuk menghormati ikatan di antara pencipta dan ciptaannya.
Menurut laman web Kadazandusun Cultural Association Malaysia (KDCA), festival ini disambut untuk menghargai kasih sayang Kinoingan (Tuhan), kecantikan ciptaannya dan mengetahui tentang kewujudan dosa dan neraka serta konsep pengorbanan cinta sebagai kesedaran keselamatan.
Menurut lagenda, Kinoingan (Tuhan dalam agama Momolian) telah mengorbankan anak perempuannya Huminodun dengan memotongnya dan menyemai dagingnya ke atas tanah sehingga menjadi padi.
Kinoingan telah mengorbankan anak perempuannya ini bagi memberi makan kepada orang-orang yang kelaparan akibat kebuluran. Mereka mempercayai bahawa roh Huminudon ada pada padi.
Roh ini dikenali sebagai Bambarayon atau Bambazon dan ia akan diberikan penghormatan ketika Kaamatan.
Upacara dan sambutan Kaamatan
Hari ini, sambutan Kaamatan ini lebih kepada sambutan sosial dan budaya berbanding keagamaan. Walaupun Pesta Kaamatan jatuh pada 30 dan 31 Mei, upacara ini biasanya akan bermula lebih awal.
Beberapa upacara akan dibuat ketika Pesta Kaamatan di mana seruan akan dibuat kepada Bambarayon, Deitis, Divinities dan roh-roh yang telah disakiti angkara kesalahan manusia.
Kemudian upacara penyucian akan dijalankan bagi menghormati keampunan yang diperlukan di antara manusia dan roh diikuti dengan resolusi bagi membuat diri mereka layak menerima anugerah hidup dari Tuhan.
Pemulihan perlu dibuat bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan Bambarayon, Sunduan dan roh-roh lain terjaga.
Ketika upacara ini dijalankan, orang-orang akan berkumpul bagi memberikan kesyukuran.
Walaupun Pesta Kaamatan ini mempunyai maksud yang mendalam dari segi keagamaan, sambutannya sekarang lebih difokuskan kepada aspek sosial, budaya dan festivalnya.
Ini termasuk beberapa acara seperti gusti tangan (Mipulos), tarik tali (Migayat Lukug) dan Sugandoi (pertandingan nyanyian) yang akan dijalankan semasa sambutan Kaamatan.
Biasanya festival ini akan berakhir dengan Unduk Ngadau iaitu pertandingan ratu cantik bagi memberikan pernghormatan pada Huminodun.
Tak cukup dengan itu, pelbagai makanan tradisional turut dihidangkan semasa sambutan Kaamatan antaranya adalah hinompot (nasi yang dimasak dan dibalut di dalam daun), hinava (sejenis lauk yang diperbuat daripada ikan, jus limau, cili padi, hirisan bawang merah dan bawang putih) serta nomsom bambangan (sejenis jeruk mangga).
Hari Gawai
Seperti Kaamatan, Hari Gawai atau Gawai Dayak juga disambut ketika musim menuai. Festival ini disambut oleh masyarakat Dayak iaitu mewakili suku kaum di Sarawak termasuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
Gawai merupakan perayaan sosial dan keagamaan yang dibuat bagi memberikan kesyukuran kepada tuhan apabila musim menuai tamat.
Walaupun perayaan ini disambut pada 1 dan 2 Jun, penyediaan untuk menyambut festival ini akan bermula sebulan sebelum dan kemeriahannya tetap sama sehingga Hari Gawai.
Penyediaan
Beberapa hari sebelum Hari Gawai, orang-orang yang tinggal jauh akan pulang ke kampung untuk sama-sama membuat persediaan. Rumah-rumah panjang akan dibersihkan dan bilik-biliknya akan dihias dengan hiasan-hiasan yang dibuat sendiri.
Selain itu, keluarga juga akan melawat kubur moyang-moyang mereka untuk dibersihkan dan diberi penghormatan.
Upacara dan sambutan Hari Gawai
Sehari sebelum Hari Gawai, upacara akan dimulakan dengan Muai Antu Rua di mana dua kanak-kanak atau orang lelaki akan mengheret chapan (tampi rotan) di hadapan setiap bilik keluarga untuk mengambil barang-barang yang tak diperlukan dan kemudiannya dibuang ke atas tanah di hujung rumah panjang untuk roh nasib malang. Perkara ini dibuat bagi membuang roh tamak.
Beberapa suku kaum yang tinggal di kawasan pedalaman juga turut pergi memburu, memerangkap haiwan, memancing dan banyak lagi. Hasil tangkapan ini kemudiannya akan dihidangkan semasa festival berlangsung.
Ketika matahari terbenam, upacara miring akan dibuat di mana “Ketua Festival” akan mengetuai upacara tersebut dengan memberi kesyukuran ke atas Tuhan untuk hasil tuaian serta meminta memberikan petunjuk dan keberkatan serta umur yang panjang sebelum mengorbankan ayam jantan.
Ini kemudiannya diikuti dengan makan malam di mana hidangan-hidangan lazat akan dihidangkan bersama tuak. Antara makanan tradisional yang akan dihidangkan termasuklah penganan, pansoh dan banyak lagi.
Ketika hampir tengah malam, perarakan akan dibuat di dalam kawasan berkumpul di rumah panjang di mana mereka akan berjalan ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali bagi menyambut roh Tuhan.
Pada waktu tengah malam, gong akan dibunyikan bagi mendapatkan perhatian sebelum ketua rumah akan mula minum tuak dan memberikan ucapan kepada semua orang.
Ini juga turut menandakan pengakhirkan upacara Gawai dan sambutan lain seperti menari dan pertandingan turut akan dibuat.
Selamat menyambut Kaamatan dan Hari Gawai untuk masyarakat di Sabah dan Sarawak!
Sumber: Gempak
Baca: Pamer Pakaian Tradisional Di KL, Etnik Sabah & Sarawak Buat Orang Ramai Terpegun