in

Hanya Wanita, Kanak-Kanak Jadi Mangsa Serangan Udara Di Gaza – PBB

collage 8
gaza

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mendedahkan bahawa sebanyak 36 serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas Gaza sejak 18 Mac lalu hanya mengorbankan wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, ratusan serangan lain turut menyasarkan kawasan kediaman dan khemah pelarian.


Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata, situasi di Gaza kini amat membimbangkan kerana serangan berterusan itu telah menjadikan seluruh wilayah tidak lagi selamat untuk didiami.

“Antara 18 Mac hingga 9 April 2025, kami merekodkan 224 insiden serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman dan khemah orang pelarian.

“Dalam 36 serangan yang kami berjaya sahkan butirannya, kesemua mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau menambah, data yang dikumpul pihaknya secara keseluruhan menunjukkan peratusan besar kematian adalah dalam kalangan golongan wanita dan kanak-kanak.

gaza
Seorang kanak-kanak lelaki Palestin mencangkung di atas runtuhan bangunan di lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kediamannya.

“Sepuluh orang, termasuk tujuh kanak-kanak, telah dibawa ke hospital dalam keadaan tidak bernyawa selepas rumah keluarga Farra di tengah Khan Younis menjadi sasaran,” kata jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal.

Artikel berkaitan: Malaysia Bakal Bantu Bina Sekolah, Hospital Dan Masjid Di Gaza – PMX

Artikel berkaitan: Lebih 900 Trak Bantuan Kemanusiaan Masuk Gaza Lepas 2 Hari Gencatan Senjata

Apa yang lebih menyedihkan, kawasan yang diarahkan tentera Israel sebagai “zon pemindahan” turut diserang.

Walaupun penduduk diminta berpindah ke Al-Mawasi di Khan Younis, PBB merekodkan sekurang-kurangnya 23 serangan ke atas khemah pelarian di kawasan tersebut sejak 18 Mac.

Beliau juga menegaskan bahawa perintah pemindahan yang semakin meluas – termasuk yang dikeluarkan pada 31 Mac bagi seluruh kawasan Rafah – telah menyebabkan penghuni Gaza dipindahkan secara paksa ke ruang yang semakin sempit dan terhad.

“Ini bukan sekadar pemindahan sementara. Pemindahan secara kekal penduduk awam dalam wilayah yang diduduki adalah satu bentuk pemindahan paksa iaitu satu pelanggaran serius terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan boleh diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Israel menyambung semula serangan intensif ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu, sekali gus menamatkan tempoh gencatan senjata dua bulan dengan Hamas.

Sejak itu, penderitaan penduduk Gaza terus meningkat, dengan kawasan kediaman makin menyempit dan peluang untuk selamat yang semakin pudar.

Sumber: France24

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.