Satu kejadian tragis menyayat hati berlaku di Kampung Padang Gaung, Mukim Ulu Melaka,Langkawi pagi tadi apabila sebanyak 27 ekor kucing peliharaan ditemui mati selepas rumah pemiliknya dijilat api.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi itu, kesemua kucing berkenaan dipercayai terperangkap di dalam sangkar dan tidak sempat menyelamatkan diri, manakala hanya tiga ekor sahaja yang berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Artikel berkaitan: “Tolonglah buang dalam tong sampah!” – Individu Dedah Kucing Menderita Akibat Kecuaian Kaki Pancing
Artikel berkaitan: “Hanya pencinta kucing sahaja yang faham” – Tangisan Peguam ‘Kotak Pensel’ Kehilangan Kucing Tersayang Undang Sebak Ramai
Bukan sahaja kehilangan haiwan kesayangan, pemilik rumah yang merupakan seorang wanita ditemui pengsan di lokasi kejadian, manakala seorang lagi lelaki dilaporkan mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus pada anggota badan.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 8.47 pagi.
“Wanita dan lelaki cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai keadaan di tempat kejadian, pihak bomba menemui bangkai kucing-kucing tersebut di dalam rumah yang musnah terbakar.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 27 kucing yang berada dalam rumah ditemui mati, manakala tiga dapat diselamatkan,” katanya lagi.
Pihak bomba berjaya mengawal api sepenuhnya pada jam 9.58 pagi sebelum operasi ditamatkan secara rasmi sekitar jam 10.52 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
Sumber: Berita Harian
