Semalam, Padini Holdings Berhad dan Paradigm Mall PJ membuat pengumuman mengatakan salah seorang pekerja Brands Outlet telah disahkan positif Covid-19.
Pekerja tersebut kini sedang menjalani rawatan dan Brands Outlet pula akan mengikut panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengesan kontak rapat.
Menurut kenyataan Paradigm Mall, pekerja tersebut mendapat jangkitan itu dari teman sebiliknya yang baru pulang dari Sabah pada 27 September lalu.
Pun begitu, pekerja tersebut telah pun mengambil cuti dari 27 September hingga 1 Oktober dan telah masuk bekerja pada hari Jumaat 2 Oktober di mana suhu badannya di bawah 37.5ºc dan tak menunjukkan apa-apa simptom.
Pada 3 Oktober pula, pekerja itu telah mendapat tahu yang teman sebiliknya itu positif Covid-19 dan mengambil cuti sakit untuk menjalani peperiksaan dan tak datang kerja sejak Jumaat lalu.
Ekoran ini, kedai Brands Outlet telah ditutup untuk sementara waktu manakala Paradigm Mall pula akan buat sanitasi setiap dua jam bagi memastikan pusat membeli belah ini selamat.