Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencuri tumpuan apabila menegaskan bahawa cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada 10 tahun akan terpakai kepada dirinya terlebih dahulu. Beliau menjelaskan tidak adil jika undang-undang tersebut hanya digubal untuk pemimpin akan datang tanpa melibatkan pentadbirannya sekarang.
Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, Anwar menyatakan bahawa tempoh dua penggal atau 10 tahun adalah fasa yang sangat mencukupi bagi mana-mana pemimpin untuk melaksanakan tugas dengan efektif.
Artikel berkaitan: PMX Perkenal ‘Bintang & Bulan’ di Zoo Negara, Panda Baharu Tarik Tumpuan Ramai
Artikel berkaitan: PMX Bentang Cadangan Had Dua Penggal Penuh Bagi Jawatan Perdana Menteri
“Sesiapa yang ingin berkhidmat kepada negara dengan ikhlas akan mendapati 10 tahun adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Selepas itu, jawatan itu wajar dibuka kepada rakan-rakan lain,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan Rang Undang-Undang (RUU) ini bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Selain had tempoh jawatan PM, RUU tersebut juga akan menyentuh soal pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai langkah memperkukuh akauntabiliti kerajaan MADANI.
Langkah ini dilihat mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia apabila tinjauan awam yang melibatkan seramai 3,722 peserta dalam tempoh seminggu menunjukkan bahawa 89.9 peratus bersetuju secara prinsip untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, manakala hanya 8.27 peratus tidak bersetuju dan 1.75 peratus lagi menyatakan tidak pasti.
Sumber: Berita Harian
