Seorang guru silat berusia 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tiga pertuduhan melibatkan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga merupakan anak muridnya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di atas katil sebuah rumah di Taman Telok Mas, Melaka Tengah, pada September dan Oktober lalu. Tertuduh, Yusof Omar, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan.
Dalam prosiding pertama, tertuduh dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 15 tahun. Selain itu, beliau turut berdepan pertuduhan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama. Kedua-dua pertuduhan membawa hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel berkaitan: Pelajar Tingkatan 2 Direman 4 Hari, Didakwa Lakukan Amang Seksual Kepada Rakan Sekolah
Artikel berkaitan: Naim Daniel Muncul Buat Persembahan Selepas Kes Amang Seks*al, Netizen Beri Pelbagai Komen
Prosiding kedua pula melibatkan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi remaja perempuan berusia 14 tahun, yang juga merupakan anak didiknya. Kesalahan itu turut dikatakan berlaku dengan cara yang sama dan dilakukan dalam tempoh yang berdekatan. Semua pertuduhan dikemukakan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM70,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa, melapor diri setiap dua minggu, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Peguam bela memohon jaminan lebih rendah dengan alasan keadaan kewangan tertuduh dan masalah kesihatan yang dialaminya.
Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan keseluruhan RM24,000 dan mengekalkan syarat-syarat tambahan yang dimohon pendakwaan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 dan 23 Disember depan.
Sumber: Astro Awani
