Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Permaisuri serta putera dan puteri mereka baru-baru ini mencemar duli bagi Kembara Kenali Borneo.
Sepanjang kembara baginda, pelbagai detik-detik indah bersama rakyat Borneo sempat dirakamkan dan tular di media sosial.
Terbaru, seorang guru di Sarawak berkongsi detik indahnya apabila YDPA memilihkan nama untuk bakal cahaya matanya.
Dalam laporan Kosmo!, guru yang dikenali sebagai Naldiana Umping Michael berkongsi berita gembira itu di Facebook miliknya.
Naldiana menyampaikan sehelai surat kepada YDPA ketika baginda singgah di sebuah stesen minyak di Simpang Layar, Selasa lepas yang mengandungi pemilihan beberapa nama untuk anak sulungnya.
Kira-kira setengah jam kemudian, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerusi IG Story memuat naik gambar surat yang diberikan Naldiana itu tadi dan memberitahu YDPA sudahpun memilih nama untuk bakal cahaya matanya itu.
“Tuanku Agong pilih nama ini! Semoga berjaya dapat anak,” tulis Tengku Mahkota Tengku Hassanal.
Al-Sultan Abdullah berkenan dan menanda nama Nichella Inez Starla untuk bayi perempuan dan Syderek Neville untuk bayi lelaki.
Selain itu, Naldiana berkongsi kerana keadaan begitu sesak dan pantas dia tidak sempat untuk berbual dengan YDPA namun sempat memberikan surat tersebut kepada keluarga diraja itu.
Daulat Tuanku!