Pelajar perempuan tingkatan 4 yang meninggal dunia akibat ditikam pelajar tingkatan 2 di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pagi tadi ada menjerit untuk meminta tolong.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, ada seorang guru yang terdengar jeritan mangsa sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Artikel berkaitan : “Kami panik bila tengok mesej itu” – Ibu Bapa Cemas, Segera Ke Sekolah Selepas Tular Kes Pelajar Dit*kam
Artikel berkaitan : “Dia masuk tunjuk pisau” – Pelajar Kongsi Detik Cemas Kejadian T*kam Di Sekolah
Nak tolong tapi dah ‘terlambat’
“Seorang guru yang berada berhampiran terdengar jeritan minta tolong daripada mangsa dan cuba membantu, namun ‘terlambat’ kerana suspek sudah menikam mangsa.”
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati bahawa ada beberapa kesan tikaman di bahagian badan mangsa dan polis telah pun merampas 2 senjata tajam yang dipercayai digunakan oleh suspek.
“Kita rampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini. Jenis senjata akan disahkan kemudian.”
“Ketika ini kita tunggu laporan bedah siasat dari hospital bagi mengesahkan jumlah sebenar tikaman yang dialami mangsa.”
“Terdapat kecederaan beberapa tikaman didapati di bahagian badan mangsa. Apabila laporan bedah siasat keluar nanti, kita akan tahu berapa jumlah tikaman sebenar.”
Tambah Shamsudin, buat masa ini pihak polis mengesahkan bahawa tidak timbul unsur pembulian. Namun begitu polis tidak menolak kemungkinan wujudnya faktor lain dan siasatan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek termasuklah latar belakang kedua-dua pelajar tersebut.
Beliau turut mengatakan bahawa polis sedang dalam proses untuk merakam keterangan beberapa orang individu termasuklah guru, rakan mangsa dan suspek bagi membantu siasatan.
Mangsa yang berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, suspek yang berusia 14 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kita akan jalankan siasatan lanjut dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian.”
Kes disiasat mengikut bawah Seskyen 302 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok bagi permohonan reman.
Sumber : Malaysia Gazette