in

“Guna seterika, air panas” – Dera Anak Hingga Badan Melecur, Suami Isteri Ditahan

Kanak Kanak Didera

Tidak berperikemanusiaan, dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun disyaki menjadi mangsa dera oleh pasangan suami isteri, sejak bulan lalu.

Kedua-dua mangsa ini disyaki telah didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan luka dan melecur.

Susulan kejadian di sebuah rumah sewa di Keningau, Sabah itu, satu pasangan suami isteri ditahan kerana didakwa melakukan penderaan terhadap mangsa.

Artikel berkaitan: Tular Video Wanita Indonesia Dakwa Didera Majikan, Polis Sahkan Dia Sebenarnya Pencuri

Menurut sumber, polis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu lelaki yang mengesyaki mangsa telah didera.

“Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, petang tadi (Khamis).

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa siri kejadian penderaan dilakukan sejak 24 Mac lalu oleh pasangan suami isteri tersebut terhadadap kedua-dua mangsa.

Mangsa berusia 13 tahun adalah anak tiri, dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering.

Jelasnya, kejadian itu dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger.

Keningau Remaja Dera

“Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia lima tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai.

“Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur. Selain itu mangsa turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya.

“Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur,” katanya.

Polis menyatakan kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Berita Harian