Hanya kerana berlaku perselisihan faham dalam rumah tangga, seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup membakar kereta milik isterinya.
Memetik laporan Buletin TV3, kejadian berlaku malam tadi berhampiran Hospital Columbia, Jalan Tebrau, Johor Bahru yang menyebabkan kerugian hampir RM90,000.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, insiden membabitkan suami yang berusia 25 tahun dan isteri berusia 21 tahun.
Artikel berkaitan: Bekas Suami Berhutang Dengan Ah Long, Rumah Ibu Tunggal Pula ‘Diserang’
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laluan berkenaan, kejadian berlaku pada jam 10.20 malam.
“Suspek yang menaiki Toyota Vellfire menghalang kereta dinaiki isterinya bersama dua wanita lain serta seorang lelaki.
“Suspek bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta sebelum melarikan diri dari lokasi dengan Toyota Vellfire,” katanya.
Kejadian sebelum terbakarnya Kereta Toyota Vios di Jalan Tebrau depan Columbia Asia Hospital pada jam 10.15 malam 02/02/25. Harap @PDRMsia dapat tangkap! pic.twitter.com/K35sUA4Tio
— Fahmi Yumi 🕊 (@kaiyumi42) February 3, 2025
Katanya, susulan kejadian itu kereta Toyota Vios terbakar 80 peratus dan wanita terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Majidee.
Difahamkan, polis sedang giat mengesan lelaki tersebut bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular sebuah video yang dirakam pengguna jalan raya lain memaparkan empat individu berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka disimbah petrol sebelum terbakar.
Sumber: Buletin TV3