Pelawak, pelakon dan usahawan, Shuib didenda RM 10,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan mempromosikan produk rokok elektronik (vape) menerusi saluran audio siar (podcast) pada 2 tahun lalu.
Hukuman tersebut dijatuhi oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas Shahmira Muhammad, 41, selaku penerbit program itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Artikel berkaitan : Amad Rebah Sebelum Selesai Persembahan, Shuib Tak Nafi Kemungkinan Berlaku Gangguan Mistik
Artikel berkaitan : “Misplaced sahaja” – Shuib Dedah Punca Kereta Kuning Hilang
Mahkamah juga turut mengarahkan Shuib selaku orang kena saman (OKS) dipenjara sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Dalam pertuduhan pindaan, Shuib didakwa mempromosikan produk itu menerusi podcast di Youtube. Ia kemudian dibaca di Aras 3 Blok F1 Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya, jam 4.26 petang pada 22 Oktober 2024.
Disebabkan itu, Shuib kini telah didakwa mengikut Seksyen 9(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(3)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa KKM, Kua Ah Kiong pula meminta agar OKS dikenakan hukuman setimpal kerana diambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi OKS yang jelas melanggar Akta 852.

Kata beliau, OKS adalah orang terkenal dan tindakan mempromosikan produk itu boleh membawa pengaruh terhadap orang ramai terutama pengikutnya.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili Shuib iaitu Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri memohon hukuman denda paling minimum kerana kerana anak guamnya itu sudah mengeluarkan siaran promosi terbabit daripada YouTube.

Katanya, OKS juga menyedari kesalahan itu dan sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan. Di mahkamah yang sama, pengarah syarikat Bangsawan Distribution Sdn Bhd yang juga pemilik Soundvape, Mohd Redzuan Hamizan Rahim, 33, turut mengaku bersalah menaja promosi produk tembakau itu di Dol’s Podcast.
Kesalahan tersebut dibuat di lokasi sama pada masa dan tarikh yang sama. Justeru, mahkamah turut menjatuhkan hukuman sama iaitu denda RM10,000 atau penjara setahun seandainya gagal membayar denda berkenaan.
Sumber : Berita Harian
